29 July 2011

Pembebasan PSM 6: Kerajaan sambut baik, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menyambut baik keputusan polis bagi membebaskan semua enam tahanan anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan sejak 28 hari lalu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat.

Bercakap kepada wartawan selepas mempengerusi mesyuarat majlis tertinggi Umno di Kuala Lumpur, petang tadi, Najib berkata keputusan pihak polis itu dibuat berdasarkan pengamatan mereka sendiri.

“Kita menerima baik keputusan yang dibuat oleh pihak polis... terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan apa-apa tindakan (selanjutnya). Sebagai sebuah negara (berdaulat), kita berpegang kepada 'rule of law',” katanya.

Pengumuman pembebasan keenam-enam mereka dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan media ringkas petang ini.

Semua mereka yang ditangkap pada 2 Julai lalu, di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang itu dibebaskan pada jam 5.30 petang di balai polis Jinjang.

Mereka yang dibebaskan itu termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir. - Malaysiakini

* Sendiri tangkap, sendiri lepas, sendiri puji...

No comments:

Post a Comment