Gaddafi disyaki dalang pembunuhan Abdel Fattah Younes
BENGHAZI/NALUT: Ketua pemberontak tentera Libya ditembak mati dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada pertelagahan dalam pergerakan menyingkirkan Muammar Gaddafi atau dibunuh oleh penyokong Gaddafi. Pembunuhan Abdel Fattah Younes yang dianggap misteri menjejaskan pergerakan anti Gaddafi ketika mereka semakin kukuh selepas diiktiraf negara Barat sebagai pemerintah baru Libya.
Fattah juga bertahun-tahun dekat dengan pentadbiran Gaddafi sebelum berpaling tadah bagi menjadi ketua tentera Majlis Pentadbiran Kebangsaan (TNC).
Penyokong yang berkabung kematiannya membawa mayat Fattah penuh dengan kesan tembakan dan dibakar ke medan utama di Benghazi, kubu kuat pemberontak di timur Libya.
“Kami bawa mayatnya ke sini semalam. Dia ditembak kemudian dibakar. Dia menelefon kami pada 10 pagi (Khamis) dan memberitahu dia dalam perjalanan ke sini,” kata anak saudara Fattah, Abdul Hakim.
Fakta pembunuhan Fattah juga masih kabur selepas dia diminta ke Benghazi ketika berada di medan tempur di bandar Brega.
“Pembunuhan ini nampaknya satu operasi anjuran penyokong Gaddafi. Anggota keselamatan Gaddafi memenuhi misi mereka untuk membunuh Fattah,” dakwa wartawan Libya dan aktivis berpejabat di London, Shamis Ashour.
“Mereka harap dapat cetuskan perbalahan di kalangan pemberontak. Nampaknya ada tali barut (Gaddafi) di kalangan pemberontak.
“Fattah berada di medan perang dan dipujuk kembali ke Benghazi dan dibunuh sebelum tiba di sana. Ini satu tamparan hebat kepada pemberontak,” katanya lagi.
Pembunuhan itu berlaku ketika pemberontak mula menyerang kawasan sebelah barat dan menerima lebih banyak daripada masyarakat antarabangsa yang diharapkan membolehkan mereka menerima aset berbilion dolar Libya yang dibekukan di negara asing.
Selepas khabar angin bertiup kencang, pemimpin politik pemberontak, Mustafa Abdel Jalil memberitahu Fattah dan dua pengawal peribadinya dibunuh sebelum menghadiri sesi soal siasat dengan jawatankuasa kehakiman pemberontak mengenai isu ketenteraan.
Tidak jelas di mana pembunuhan itu berlaku. Fattah tidak dipercayai ramai pemimpin kanan pemberontak kerana rekodnya sebelum ini menindas penentang Gaddafi.
Tetapi, kematiannya dianggap memberi tamparan hebat kepada mereka kerana 30 negara sudah memberi pengiktirafan kepada mereka ketika kemajuan di medan perang agak perlahan.
“Ramai ahli TNC adalah penyokong Gaddafi sejak lama dulu. Mereka adalah penasihat dan menyertai TNC selepas pemberontakan meletus beberapa lama,” kata Geoff Porter, perunding agensi North Africa Risk Consulting. – Reuters
No comments:
Post a Comment