28 July 2011

MIC gesa KDN bebas enam ditahan bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam mahu Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli Parlimen Sungai Siput di bawah Ordinan Darurat sejak awal bulan ini.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, sehingga kini polis belum lagi menunjukkan bukti yang meyakinkan berhubung alasan menahan keenam-enam mereka kononnya mahu menggulingkan kerajaaan.

“Malah ada petanda-petanda mengelirukan bahawa mereka ditahan kerana pembabitan dalam Bersih.

“Bagaimanapun mereka ditahan lebih awal, dan kebanyakan mereka yang terlibat dalam (perhimpunan) Bersih tidak pula ditahan dan mereka yang ditahan juga sudah pun dibebaskan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Sehubungan itu kata beliau, polis sewajarnya mengkaji balik penahanan mereka dan jika perlu hadapkan mereka di mahkmah.

Kata beliau tindakan pihak berkuasa itu telah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat Malaysia dan justeru, perkara tersebut perlu ditangani dengan baik.

Gesaan agar mereka dibebaskan telah diketengahkan oleh banyak pihak.

Pagi tadi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menuntut pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan segera melepaskan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan lima pemimpin PSM itu.

Anwar menegaskan kesemua individu yang ditahan itu perlu dilepaskan segera tanpa sebarang syarat.

Selain Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, 56, mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P Letchumanan, 49, ahli jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25.

Keenam-enam pemimpin PSM itu ditahan dua minggu sebelum Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mereka turut didakwa ditahan reman kerana cuba melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan kemudian ditahan di bawah Ordinan Darurat sehingga kini.

Ordinan Darurat digubal pada 1969 sebagai pendekatan sementara untuk respons kepada rusuhan 13 Mei, yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan. - The MalaysianInsider

No comments:

Post a Comment