KUALA LUMPUR, 15 DIS 2008: Sah... pertunangan Pengarang Hiburan Akhbar Harian Metro, Adam Salleh dengan pelakon, pengacara serta produser drama tempatan, Nasreen Ngasri atau Darling Ngasri sudah putus.
Perkara ini dimaklumkan sendiri bonda Adam, Raja Hamidah Raja Sa'at sewaktu ditemui bersempena sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-76 di kediamannya di Kampung Klang Gates, Hulu Klang petang semalam.
Raja Hamidah yang juga isteri kepada pengarah filem Melayu, Allahyarham Salleh Ghani (pengarah filem Seri Mersing) turut memberitahu bahawa keluarga Darling sudah pun datang menemuinya untuk memulangkan cincin pertunangan emas belah rotan, baru-baru ini.
"Tapi, keluarga Darling tidak pula beritahu kenapa dan sebab apa pertunangan anak mereka dengan Adam diputuskan. Saya pun tak mahu bertanya lebih lanjut.
"Mungkin sudah tiada jodoh agaknya mereka berdua. Nak buat macam manakan? Darling pun tak cakap apa-apa. Tapi dia nampak sedih waktu datang ke rumah saya untuk mengambil barang-barang pejabatnya, baru-baru ini.
"Tak tahulah saya hendak buat apa dengan cincin emas belah rotan tu. Nak kasi orang tak boleh sebab cincin itu ada tertulis nama Adam dan Darling," katanya secara eksklusif kepada murai.com.my
Sungguhpun begitu, Raja Hamidah berkata, sebagai ibu, dia tetap akan mendoakan supaya Adam akan menemui jodohnya satu hari nanti.
"Kalau boleh saya nak sangat tengok Adam kahwin lagi. Lama sangat dia membujang selepas bercerai dengan bekas isteri dulu (penyanyi Ilyka yang sekarang sudah berkahwin dengan ahli korporat dan bergelar Datin). Saya ingatkan kali ini adalah jodoh dia dengan Darling.Tapi bila sudah putus tunang, nampaknya membujang terus dia," kata Raja Hamidah.
Adam temui cinta baru?
Sementara itu, Adam yang juga salah seorang juri Muzik Muzik ketika diwawancara pula berkata, dia enggan mengulas tentang perkara itu dengan lebih lanjut.
"Malas saya hendak cakap kenapa dan sebab apa semua ini boleh terjadi (perihal putus tunang). Sebab perkara ini datang dari pihak sana (keluarga Darling). Lebih baik saya macam ini (solo). Nak jumpa siapa pun senang. Nak keluar dengan siapa pun, tak susah. Saham pun naik balik," katanya secara berseloroh.
Adam turut mengakui yang dia kini sudah mempunyai cinta hati baru iaitu sebuah kereta Peugeot 206 berwarna merah menyala yang baru saja dibelinya.
Dia bagaimanapun menafikan bahawa dia membeli kereta baru tersebut dengan hasrat untuk menunjuk-nunjuk pada keluarga Darling.
"Sebenarnya dah lama saya mengidam nak pandu Peugeot. Bila sudah putus tunang, saya terus jual kereta dulu iaitu Kembara. Bukan apa, banyak sangat kenangan pahit saya bersama Kembara dulu. Dengan kereta itulah saya bercerai dengan bekas isteri saya (Ilyka). Putus tunang pun dengan kereta itu juga," katanya.
Majlis hari ulang tahun kelahiran Raja Hamidah turut dimeriahkan dengan kehadiran anak-anak serta cucu-cucunya. Malah, produser filem dan drama, Raja Azmi Raja Sulaiman, Julie Dahlan dan anaknya, Harry serta produser Zaiton Mohd Jiwa (kakak ipar Dato' Siti Nurhaliza) turut hadir sebagai tetamu undangan.
Tidak apalah Cik Adam, jodoh pertemuan di tangan Tuhan... Selamat Tahun Baru 2009! - Murai
No comments:
Post a Comment