20 July 2019

Sah cerai talak tiga, teka-teki status perkahwinan Sultan Kelantan terjawab

Peguam Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua mengesahkan pasangan itu sah bercerai talak tiga pada 22 Jun lalu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai status perkahwinan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko akhirnya terjawab, hari ini.

Menerusi kenyataan terkini, peguam Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua mengesahkan pasangan itu sah bercerai talak tiga pada 22 Jun lalu.

Menurut Tien Hua, firma guaman Eversheds Harry Elias LLP yang berpangkalan di Singapura itu sudah menghantar surat cerai talak tiga terbabit kepada pihak peguam Oksana.

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai status perkahwinan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko akhirnya terjawab, hari ini.

Menerusi kenyataan terkini, peguam Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua mengesahkan pasangan itu sah bercerai talak tiga pada 22 Jun lalu.

Menurut Tien Hua, firma guaman Eversheds Harry Elias LLP yang berpangkalan di Singapura itu sudah menghantar surat cerai talak tiga terbabit kepada pihak peguam Oksana.

Terdahulu, khabar angin mengenai perkahwinan Yang di-Pertuan Agong ke-15 itu kecoh di laman sosial selepas timbul dakwaan pasangan yang berkahwin kira-kira setahun lalu itu telah bercerai talak tiga.

Sijil perceraian itu dipercayai didaftarkan 1 Julai lalu selepas proses perceraian Oksana, 26 tahun, bertarikh 22 Jun di Singapura.

Sijil perceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

Model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu dipercayai melangsungkan perkahwinan pada November 2018, lapor portal berita berpusat di United Kingdom, Daily Mail.

Pada 22 Mei lalu, Sultan Muhammad V dan Oksana selamat dikurniakan putera sulung diberi nama Tengku Ismail Leon Petra Tengku Muhammad V Faris Petra. - Astro Awani

27 May 2019

Hampir 30,000 tandatangan petisyen bantah kenaikan bil elektrik

KUALA LUMPUR - Satu petisyen dalam talian di laman web change.org diwujudkan semalam bagi membantah peningkatan tarif bil elektrik seperti didedahkan ramai netizen sejak beberapa hari lepas.

Petisyen itu dimulakan seorang pengguna bernama Abdullah Fahim dengan menggunakan tajuk Bantahan Kenaikan Elektrik 2019 Mengikut Kiraan TNB (Tenaga Nasional Berhad).

Setakat jam 6.15 petang tadi, petisyen itu telah berjaya mengumpulkan hampir 30,000 tandatangan.

Menurut petisyen tersebut, rakyat Malaysia memohon kerajaan mengkaji semula penggunaan meter digital dan kiraan dipraktikkan TNB dalam menentukan caj elektrik di seluruh negara.

“Kami dapati ada unsur penipuan apabila berlaku kelewatan bil yang dihantar oleh TNB mengakibatkan kami terpaksa membayar lebih mengikut kiraan prorata TNB.

“Cukai yang dikenakan agak tinggi bagi setiap bil membebankan rakyat, pemotongan elektrik pula agak cepat apabila berlaku bil tertunggak.

“Kami mahu pihak kerajaan menyiasat segala aduan rakyat segera, bagi mengurangkan beban elektrik yang ditanggung rakyat.Siasatan perlu telus dan mengambil kira aduan rakyat,” tulis Abdullah Fahim dalam petisyen itu.

Kebanyakan pengguna yang menandatangani petisyen tersebut turut berkongsikan masalah sama dan mereka mendesak TNB memberikan penjelasan segera.

Mohamad Samsi Kamarudin berkata: “Beza kenaikan yang sangat besar. Harap ditarik semula monopoli TNB. Kena galakkan syarikat lain compete supply (bersaing sediakan perkhidmatan) elektrik kepada rakyat Malaysia.”

Muhammad Syafiq Abdul Aziz pula bekata: “Sudah banyak kali TNB melambatkan pengambilan bacaan bil bulanan dan menyebabkan separuh penggunaan jatuh pada blok ketiga kiraan caj penggunaan.”

Kelmarin, TNB menjelaskan jumlah bil elektrik yang perlu dibayar adalah berdasarkan kepada bacaan meter selepas ramai pengguna media sosial mendedahkan bil elektrik mereka melambung tinggi.

Menerusi soalan lazim (FAQ) dalam laman sesawang TNB, sekiranya meter dibaca melebihi tempoh 31 hari, maka TNB akan menggunakan pengiraan secara prorata berdasarkan bilangan hari pembilan.

"Sebagai contoh, tempoh pembilan 35 hari, faktor prorata dikira 35 hari daripada 30 hari bersamaan dengan 1.1667 menjadikan jumlah unit digunakan ialah 452 per kilowatt jam (kWh).

“Contoh pengiraan bil elektrik yang dimuat naik ke laman akaun Facebook TNB pada 21 Mei lalu.

"Berdasarkan kepada pengiraan prorata ini, pengguna dapat menikmati 233 kWh (unit) pada kadar terendah iaitu RM0.218 berbanding dengan 200 unit yang diluluskan untuk tempoh sebulan," katanya. - Sinar Harian

‘Tiada penjelasan umum untuk dakwaan harga elektrik mencanak’

Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai berurusan terus dengan Kedai Tenaga berdekatan jika harga bil elektrik mereka naik mendadak.

“Bagaimanapun, tiada penjelasan umum dapat diberikan kepada rungutan tersebut kerana setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu dan ia turut berbeza antara satu sama lain,” kata TNB.

“Oleh itu, TNB memohon kerjasama pengguna yang terlibat untuk berurusan terus dengan Kedai Tenaga yang berdekatan.

“Ini kerana data pengguna hanya boleh diakses di Kedai Tenaga.”

Ramai pengguna sosial mendakwa harga elektrik mereka naik mendadak selepas pengenalan meter pintar TNB. - Malaysiakini

Lelaki Nigeria didakwa bunuh Siti Kharina

LELAKI warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas tuduhan membunuh ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40.

Tertuduh, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, mengangguk faham atas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho.

A Akhiruddin@Boy kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan Asid Deosiribonukleik (DNA), telefon bimbit, kimia dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Kharina di sebuah unit kondominium di Third Avenue Condominium, Cyberjaya, Selangor antara 12.41 tengah malam pada 9 Mei hingga 2.30 petang pada 15 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dua lagi suspek kes sama, wanita warga Nigeria berusia 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 38 tahun dibebaskan dengan Bon Mahkamah masing-masing RM10,000 dan RM11,000.

Pada masa sama, A Akhiruddin@Boy Acho mengarahkan pasport kedua-duanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. - Hmetro

19 May 2019

Siti Kharina kenal suspek

KETUA Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang mati dibunuh di kondominium di Cyberjaya, Khamis lalu, mengenali suspek warga Nigeria sejak Januari lalu selepas berkenalan melalui media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 30 tahun pernah bertemu dengan mangsa di unit kondominium berkenaan.

“Menerusi siasatan dijalankan, pemilik kondominium berkenaan menyewakan rumah terbabit kepada Siti Kharina sejak awal tahun ini.

“Mangsa pernah bertemu suspek beberapa kali sejak Januari lalu di kediaman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan lanjut mendapati suspek juga tinggal di negara ini secara haram selepas permitnya tamat tempoh.

Katanya, polis kini sedang membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengenal pasti sama ada dua lagi suspek yang ditahan membabitkan seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita Nigeria mempunyai dokumen sah untuk tinggal di negara ini.

“Buat masa ini juga, polis sedang menyiasat jika ketiga-tiga suspek ini turut terbabit dengan kegiatan jenayah lain seperti Love Scam, Macau Scam atau kes penipuan lain termasuk dadah," katanya.

Beliau berkata, laporan bedah siasatan dijalankan Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa akibat kesan kelar menggunakan objek tajam pada bahagian leher mangsa.

Malah, beliau turut menolak kemungkinan mangsa dirogol terlebih dulu sebelum dibunuh.

“Laporan bedah siasat dikeluarkan Hospital Serdang tidak menyatakan mangsa dirogol namun menyatakan kematian mangsa akibat kelar pada bahagian leher,” katanya.

Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu sebelum mayatnya di temui di unit kondominium di Cyberjaya, Khamis lalu.

Mayatnya ditemui selepas pemilik rumah melihat kesan darah mengalir keluar dari bawah pintu.

Susulan itu, polis menahan tiga individu membabitkan seorang lelaki dan wanita Nigeria serta seorang lelaki Pakistan. - Mymetro

18 May 2019

Berkenalan melalui laman sosial

KUALA LUMPUR – Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, yang mayatnya ditemui dengan kesan kelar pada leher dan dada di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya Rabu lalu dikatakan mengenali seorang lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama kes tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek menerusi laman sosial sejak beberapa tahun lalu.

“Setakat ini, kita dapati mereka (mangsa dan suspek) saling mengenali satu sama lain sebelum lelaki warga Nigeria itu memasuki negara ini awal Januari lalu.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan sejauh mana hubungan mereka.

“Pihak polis juga masih menyiasat hubungan mangsa dengan wanita Nigeria serta lelaki Pakistan yang turut ditahan dalam kes ini serta kaitan antara ketiga-tiga suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi ­Kosmo! semalam.

Sementara itu, seorang pe­ngawal keselamatan di kondominium tempat kejadian berlaku mendakwa, ada melihat lelaki warga Nigeria berusia 36 tahun itu keluar dari kawasan tersebut kira-kira pukul 9 malam pada hari kejadian dengan menaiki Grab.

Pengawal keselamatan itu berkata, suspek itu bagaimanapun tidak menunjukkan sikap mencurigakan dan berlagak seperti tiada yang berlaku,

“Lelaki itu nampak tenang saja dan tidak tergesa-gesa ketika menuruni lif serta me­nunggu Grab.

“Kawasan ini Grab memang banyak, jadi senang untuk dia balik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kondominium itu di Cyberjaya semalam.

Difahamkan, kereta Honda City berwarna putih milik mangsa juga dilihat berada di parkir kenderaan yang dikhususkan untuk penghuni kediaman pada hari kejadian.

Pengawal keselamatan itu turut mendakwa, suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali antara satu sama lain berikutan mereka beberapa kali dilihat keluar masuk kondominium sebelum hari kejadian.

Bagaimanapun dakwanya, suspek tidak akan datang bersendirian kerana warga asing itu dipercayai tidak mempunyai kad akses ke rumah sewa mangsa.

“Mereka selalunya datang bersama menaiki kereta milik mangsa dan pernah keluar makan bersama,” dakwanya. - Kosmo

Polis sahkan Siti Kharina, suspek sewa kondominium bersama

SHAH ALAM - Polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin telah menyewa bersama Ketua Jururawat Hospital Serdang itu di unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mereka berdua menyewa bersama sejak Januari lalu di unit kondominium itu yang juga lokasi mayat Siti Kharina ditemukan.

“Suspek lelaki warga Nigeria itu juga mempunyai kad akses masuk ke kondominium berkenaan dan kediaman itu disewa atas nama Siti Kharina.

“Berdasarkan siasatan polis ke atas suspek dan juga keterangan saksi-saksi lain mendapati, Siti Kharina hanya secara on off (tidak setiap hari) menginap di kondominium berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Fadzil berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dengan jenayah lain seperti love scam atau dadah dan sebagainya.

“Bagi melengkapkan siasatan, polis telah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan dan tidak menolak kemungkinan untuk memanggil lagi beberapa individu lain dalam masa terdekat.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan namun polis telah menemui beberapa petunjuk baharu dan setakat ini tidak akan didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, dengan penahanan tiga suspek ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai berjaya diselesaikan,” katanya lagi.

Pada 17 Mei, seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina. - Sinar Harian