16 December 2022

Wanita maut dikelar di leher akibat disamun


TAWAU - Seorang wanita disamun sebelum lehernya dikelar dalam satu kejadian bunuh di hadapan sebuah bangunan terbiar di Kampung Titingan, di sini pada Khamis.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam di mana mangsa dilihat terbaring dengan berlumuran darah manakala seorang budak kecil dipercayai anaknya menangis di sisi wanita berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam.

"Sebaik tiba di lorong yang gelap, mangsa dipercayai disamun dan mangsa cuba melawan. Rantai leher serta subang dipakainya hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, terdapat kecederaan pada leher mangsa dipercayai dikelar menggunakan pisau atau objek tajam.

"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan suspek dalam kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Champin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 24 dan 17 saat memaparkan kanak-kanak perempuan menangis di sisi mayat wanita terbabit yang terbaring dengan berlumuran darah.

 - Sinar Harian

 

 

 

No comments:

Post a Comment