WASHINGTON 12 Nov. - Pergerakan Taliban di Afghanistan menggesa Barack Obama membaiki imej Amerika Syarikat (AS) di luar negara dengan menolak dasardasar "menyokong peperangan" yang dilaksanakan oleh Presiden George W. Bush.
Realiti di Afghanistan dan harapan rakyat Amerika yang disuarakan menerusi undi mereka menuntut Obama menolak segala dasar yang diambil oleh Bush, menurut kenyataan Taliban seperti dipetik oleh pertubuhan SITE Intelligence semalam.
Obama yang memenangi pilihan raya Presiden AS minggu lalu, semasa kempennya berjanji untuk memulakan pengunduran askar AS dari Iraq dan menghantar lebih ramai askar ke Afghanistan bagi memerangi pemberontak Taliban dan pejuang al-Qaeda.
Taliban memberi amaran, sekiranya Obama "mengikut jejak langkah Bush dan menaruh cita-cita untuk melanjutkan tempoh pendudukan di Afghanistan dan Iraq, pentadbiran Demokrat akan mengalami nasib yang lebih memalukan dan lebih jelik berbanding apa yang menimpa Republikan."
"Dengan meneruskan perang yang membabitkan kos tinggi itu, AS akan 'jatuh miskin' dan tidak akan dapat mengembalikan status dan nama baiknya di mata dunia," menurut kenyataan tersebut.
Taliban berkata, keangkuhan dan sikap suka berperang yang ditunjukkan oleh pentadbiran Bush telah membawa kegagalan di Afghanistan dan Iraq.
Pergerakan itu menambah, Obama perlu "menghormati hak penduduk dunia untuk mengecapi kemerdekaan dan perlu mematuhi norma hak asasi manusia" sekiranya ingin mengembalikan imej baik Amerika di luar negara.
- AFP
No comments:
Post a Comment