13 November 2008

Lelaki menyamar curi 5 komputer

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya dan melarikan lima komputer riba bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), Kulai, kelmarin.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Nasbah Jusoh, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila lelaki berusia 43 tahun datang ke SRJKT Ladang Kulai Oil Palm.

Katanya, lelaki terbabit menemui seorang guru sekolah berkenaan yang berusia 28 tahun sebelum memaklumkan bahawa dia datang untuk memeriksa komputer riba yang dibekalkan Jabatan Pelajaran di sekolah berkenaan.

"Guru berkenaan yang mempercayainya terus membawa lima komputer riba berkenaan dan tidak lama selepas itu, lelaki itu menyatakan bahawa semua barangan itu perlu dibawa balik untuk urusan pentadbiran," katanya, di sini, semalam.

Nasbah berkata, guru berkenaan kemudian membantu memasukkan semua komputer riba itu ke dalam kereta Perodua Kancil milik lelaki terbabit, sebelum dia terus memandu keluar dengan tergesa-gesa.

Katanya, tindakan itu nyata mengundang rasa curiga guru berkenaan menyebabkannya menghubungi PPD Kulaijaya berhubung urusan berkenaan dan dimaklumkan PPD tidak menghantar kakitangannya untuk memeriksa komputer riba di sekolah.

"Satu laporan kemudian dibuat di Balai Polis Kelapa Sawit dan kira-kira jam 5.15 petang, lelaki terbabit ditahan di bandar Kluang bersama seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai pembeli komputer riba berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis menjumpai semula semua komputer riba berkenaan dan kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan reman hingga Sabtu ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. - BHarian

* Penjenayah seperti ini wajar dibicara segera ( tempoh seminggu ), hukum segera mengikut undang2 dan dedah kepada umum. Sebagai pengajaran dan menunjukkan masyarakat sangat benci kepada perilaku buruk itu.

No comments:

Post a Comment