13 November 2008

Dua askar AS antara terbunuh ketika letupan waktu sibuk di ibu kota Iraq

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dalam beberapa serangan di Iraq, 12 daripadanya disebabkan letupan bom pada waktu sibuk di Baghdad manakala dua askar Amerika Syarikat pula dibunuh seorang anggota tentera Iraq di Mosul, utara negara Teluk itu.

Keganasan terbaru yang dianggap menyebabkan angka korban tertinggi dalam masa sehari menyaksikan letupan bom kereta diikuti dengan letupan bom di sebuah stesen bas di daerah al-Jadida, timur Baghdad.

Kejadian itu menyebabkan 12 orang maut dan 90 lagi cedera, kata Kementerian Dalam Negeri.

Di Mosul, seorang askar Iraq yang melakukan rondaan bersama tentera Amerika melepaskan tembakan ke arah askar negara asing itu menyebabkan dua terbunuh.

“Ketika satu rondaan dengan tentera Iraq, seorang askar tempatan menembak askar Amerika menyebabkan dua terbunuh dan mencederakan beberapa lagi,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sumber kementerian berkata, seorang askar Amerika ‘menampar askar Iraq ketika rondaan mencetuskan kejadian.

Jurucakap tentera Amerika, Mejar Margaret Kageleiry berkata: “Dua askar Amerika maut di Mosul. Saya tidak dapat memberi ulasan lanjut.”

Askar Iraq yang melepaskan tembakan itu kemudian maut ditembak balas. Enam askar Amerika lagi cedera dalam kejadian itu.

Dua rahib Kristian juga mati ditembak sekumpulan lelaki bersenjata yang memecah masuk kediaman mereka di Mosul dan memasang letupan. Tentera Amerika menganggap bandar itu antara kubu terakhir al-Qaeda di Iraq.

Seramai 10 lagi terkorban dalam beberapa letupan bom di Baghdad yang menyaksikan serangan berlaku hampir setiap hari meskipun keadaan keselamatan semakin baik sejak setahun lalu.

Sebanyak tiga letupan bom kereta menggegarkan ibu kota Iraq, semalam. Empat orang maut termasuk dua anggota polis dan 14 lagi cedera dalam kejadian di tempat letak kereta dekat Saadun Street, laluan utama ke tengah Baghdad.

Satu lagi bom meletup tidak lama selepas itu di kawasan penduduk di timur laut Baghdad menyebakan dua lagi terkorban dan 10 cedera, kata polis.

Bom ketiga meletup dekat sebuah stesen bas di tenggara bandar menyebabkan empat lagi terbunuh dan enam cedera.

Serangan yang berlarutan kebelakangan ini di Baghdad menunjukkan kebanyakannya mensasarkan anggota keselamatan Iraq yang semakin banyak meronda kota itu.

Mejar Jeneral Qassim Atta, jurucakap tentera Iraq di Baghdad, dalam kenyataan menegaskan bahawa anggota keselamatan meningkatkan usaha menyekat operasi pengganas di kota itu.

Katanya, pihaknya akan menempatkan alat sonar bagi mengesan bahan letupan yang dibawa selain memperhebat operasi mengumpul maklumat.

Isnin lalu, 28 lagi terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam tiga serangan di sebuah pasar kawasan Sunnah di Adhamiyah.

Peningkatan serangan berlaku ketika pegawai Amerika dan Iraq cuba mencapai persetujuan mengenai kawalan keselamatan oleh askar Amerika di Iraq hingga akhir 2011. - AFP/AP

No comments:

Post a Comment