31 May 2017

Bayi 3 minggu maut dipercayai digigit anjing

MICHIGAN - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bayi perempuan berusia tiga minggu maut dipercayai digigit anjing selepas ditinggalkan keseorangan bersama tiga ekor haiwan itu.

Susannah Jean Murray ditemui dengan keadaan kepala berdarah di sebuah rumah di Grand Rapids Michigan, minggu lalu dipercayai akibat gigitan anjing.

Bayi itu meninggal dunia pada Jumaat  di Hospital kanak-kanak Helen Devos selepas menjalani pembedahan kecemasan selama tujuh jam, lapor WZZZM13.

Polis berkata, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepala sementara salah seekor daripada anjing di rumah berkenaan ditemui berhampiran bayi dengan darah di sekitar mulutnya.

Individu dewasa lain menjumpai bayi tersebut.

Jabatan polis Grand Rapids, Sarjan Terry Dixon berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan dalam kerusi bayi beberapa minit sementera ibunya berada diluar.

"Ini adalah peringatan penting supaya tidak meninggalkan anak tanpa pengawasan bersama-sama anjing," kata Terry.

Sementara itu, anjing-anjing berkenaan kini dikuarantin di pusat pelindungan haiwan Kent County sementara pegawai perkhidmatan kanak-kanak menilai keselamatan dua kanak-kanak lain yang turut tinggal di rumah berkenaan. - SH

30 May 2017

Cikgu dipenjara 34 tahun perkosa pelajar tingkatan 3

KOTA BHARU - Guru lelaki dipenjara 34 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol pelajar tingkatan tiga, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Nurhasliman Ghazali, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di rumah di Machang pada 7.30 malam, 23 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama pada 1 pagi, 25 April 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - HMetro


Ibu hampir pengsan anak tunggal dipenjara

KOTA BHARU 29 Mei – Ramadan yang memilukan bagi seorang ibu apabila melihat anak lelaki tunggalnya dipenjara selama 34 tahun serta lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dua kesalahan merogol pelajar tingkatan tiga kira-kira dua tahun lalu.

Ibu berusia lewat 50-an itu hampir rebah dan terpaksa dipapah oleh ahli keluarganya sebaik sahaja penghakiman tersebut dibacakan oleh Hakim Nazri Ismail.

Hakim Nazri membuat keputusan itu selepas pembelaan terhadap Nurhasliman Ghazali, 36, yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah rendah di Tanah Merah, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Nuhasliman didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun 10 bulan di sebuah rumah di daerah Machang pada pukul 7.30 malam, 23 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa telah merogol mangsa di lokasi sama pada pukul 1 pagi, 25 April 2015.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad yang mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Sepatutnya tertuduh yang merupakan seorang guru tahu membezakan baik buruk sesuatu perkara selain tidak mengambil kesempatan ke atas kedaifan mangsa,” kata Norazlinawati.

Terdahulu, peguam bela, Mohd. Zulhafiz Mohd. Zahid merayu supaya anak guamnya yang masih bujang itu dikenakan hukuman ringan kerana sudah insaf.

Bagaimanapun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 17 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan berjalan secara berasingan.

Tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa bagi menjalani hukuman penjara yang berkuat kuasa hari ini. - Utusan

* Siapa menzalimi siapa?

Tiada beg plastik percuma, polisterin di pasar Ramadan MPSJ

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menguatkuasakan larangan penggunaan bekas makanan polisterin dan tidak memberikan beg plastik percuma kepada pelanggan di semua bazar Ramadan di bawah pengawasannya tahun ini.

Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata ia bertujuan membangkitkan kesedaran awam tentang keperluan penjagaan alam sekitar selain selari dengan konsep 'Go Green' yang diperkenal pihaknya.

"Kempen bebas plastik di bazar Ramadan MPSJ ini merupakan program tahunan sejak 2013 yang turut menggalakkan orang ramai membawa bekas plastik untuk membeli makanan," katanya selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan di Bandar Kinrara 5 di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata usaha mengurangkan penggunaan beg plastik turut dilaksana di semua 21 lokasi bazar Ramadan MPSJ dengan mengenakan bayaran 20 sen kepada pelanggan yang mahu menggunakannya.

Mohd Zulkarnain berkata 1,393 gerai beroperasi di seluruh bazar Ramadan MPSJ. - Bernama

* Belum perintah Malaysia, sudah susahkan rakyat.

25 May 2017

Dr M: 'Penjualan besar-besaran' dah bermula

Proton sentiasa dekat di hati Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, selepas penjualan kira-kira separuh kepentingannya kepada syarikat, Mahathir terus merenung masa depan syarikat pengeluar kereta negara itu.

Perdana menteri keempat itu membangkitkan persoalan bahawa apa yang berlaku menandakan permulaan kepada “penjualan besar-besaran”.

“'Anak' saya sudah hilang. Lepas ini negara saya pula,” katanya.

Beliau juga berkata semakin meniti usia, beliau akan melibat negara ini dijual kepada orang asing “untuk melangsaikan hutang trilion ringgit kita.”

“Kita mesti terus jual dan jual...”

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga berkata, dengan penjualan kepentingan itu, Proton bukan lagi kereta atau ikon negara.

“Tiada lagi kereta kebangsaan sekarang,” katanya. - Mkini

19 May 2017

Menangis dihukum sebat

KOTA BHARU - Seorang lelaki menangis selepas dihukum penjara enam tahun dan sembilan sebatan kerana kesalahan merompak secara berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh, tahun lalu.

Hakim, Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Saifulrizam Mat Alias, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan itu terhadap Mohammad Khobir Hossain di Jalan Tali Air Kawasan Kampung Lepah, Selising, Pasir Puteh, pada jam 3 petang 9 Disember 2016.

Tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas dan bersenjatakan pisau dalam kejadian itu. Mereka melarikan wang tunai berjumlah RM493; telefon bimbit Oppo model R5 dan Samsung yang keseluruhannya bernilai RM1,000.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd Amin Nik Abdullah.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia hanya bekerja kampung dan menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.

Siti Hajar bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan.

“Ketika melakukan rompakan itu, tertuduh berkumpulan dan bersenjatakan objek tajam (pisau).

“Tertuduh mengambil kesempatan terhadap warga asing menyebabkan mangsa mengalami kerugian wang tunai dan telefon bimbit,” katanya.

Nazri kemudian menjatuhkan hukuman itu dan mengarahkannya berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 22 Disember 2016.

Dalam kejadian lalu, mangsa menaiki motosikal melalui jalan tersebut ditahan tiga lelaki menyuruhnya berhenti.

Seorang lelaki membuka topi keledar mangsa dan memukulnya dengan topi itu.

Kesemua wang tunai dan dua telefon bimbit mangsa dirampas sebelum ketiga-tiganya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna perak. - Sinar Harian

16 May 2017

Hukum pelaburan PNB dalam ASNB adalah harus - Mufti Selangor

SHAH ALAM - Jabatan Mufti Negeri Selangor memutuskan bahawa hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.

Keputusan itu dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April lepas dan boleh diikuti melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor www.muftiselangor.gov.my.

Sehubungan itu, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam kenyataan di sini hari ini berterima kasih kepada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung penjelasan berkaitan hukum melibatkan pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB.

Menurutnya perkembangan ini adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tahun 2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB berserta dividen dan bonus yang diperoleh adalah harus.

Selain Selangor, negeri lain yang turut memutuskan pelaburan ASNB sebagai harus adalah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak.

Abdul Wahid juga berjanji untuk memenuhi permintaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang meminta PNB untuk meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarak sepenuhya.

Menurutnya hukum pelaburan ini akan dikaji semula selepas tiga tahun bagi memastikan peraturan pelaburan patuh syariah ASNB adalah melebihi 75 peratus.

Beliau juga percaya dengan perkembangan terkini itu, para pelabur Islam di Selangor kini lebih yakin dengan hukum pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB dan diharap dapat menyakinkan mereka untuk terus meningkatkan pelaburan masing-masing. - Bernama

Mesyuarat PKR putuskan nasib exco PAS tanpa Azmin

Nasib PAS dalam kerajaan Selangor terutamanya melibatkan tiga exconya mungkin ditentukan malam ini ketika mesyuarat Biro Politik PKR.

Namun, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut kerana kini berada di luar negara.

Di Facebook dan Twitter, Azmin memberitahu beliau kini berada di Brussels, Belgium kerana mempunyai urusan berkaitan Invest Selangor.

Sehubungan itu, Malaysiakini telah cuba mendapatkan respon Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung ketidakhadiran Azmin, namun masih tidak berjaya.

Semalam, dalam sidang media, Saifuddin memberitahu mesyuarat Biro Politik PKR akan diadakan malam ini.

Saifuddin turut memberitahu, Azmin telah memaklumkan kepadanya tentang butiran pertemuan bersama pesuruhjaya PAS serta tiga exco Selangor yang berlangsung pada Jumaat lalu.

"Saya percaya perkara ini akan disampaikan (dalam mesyuarat Biro Politik)," kata Saifuddin.

Sementara itu, pada sidang media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan, Ketua Setiausahanya Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan kepada Biro Politik PKR untuk menentukan nasib tiga exco PAS di Selangor.

Ditanya mengenai ketiadaan Azmin, Saifuddin Abdullah enggan mengulas lanjut dan meminta agar pertanyaan itu diajukan kepada setiausaha agung PKR.

Pada sidang media sama, Saifuddin Abdullah memberitahu, Pakatan Harapan masih terbuka untuk berbincang dengan parti pembangkang lain berhubung pengagihan kerusi pilihan raya umum.

Ditanya mengenai siapa parti pembangkang yang dimaksudkan, Saifuddin Abdullah berkata terdapat banyak parti pembangkang di Sabah, Sarawak dan di semenanjung.

"Ada banyak parti pembangkang di Sabah, Sarawak. Di semenanjung kita ada (Parti Sosialis Malaysia) PSM.

"Pakatan Harapan membuka ruang untuk rundingan (kerusi) dengan semua parti," katanya.

Ketika ditanya adakah ia termasuk PAS, Saifuddin hanya menjawab:

"Jika PAS masih mempertimbangkan mereka masih lagi pembangkang," katanya sambil ketawa. - Mkini

Guru meninggal dunia ketika sambutan hari guru


arwah Nai Zura (kiri) bersama suaminya

PASIR MAS - Kemeriahan sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Othman Talib Satu bertukar pilu apabila seorang guru, Nai Zura Mahamad, 43, tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

Mangsa yang merupakan guru Bahasa Melayu, difahamkan mengalami sesak nafas selepas mengadakan persembahan dikir barat bersama rakan-rakannya sempena sambutan hari guru.

Menurut salah seorang guru, Othman Mat Zain,52, berkata, arwah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah sangat ceria sepanjang sambutan itu.

"Sebaik sahaja selesai mengadakan persembahan, arwah turun dari pentas dan duduk di kerusi kerana mengalami sesak nafas.

"Tiba-tiba arwah rebah dan sempat dipangku oleh guru-guru lain yang ada berdekatan.

"Kami bawa arwah ke bilik rawatan sekolah dan sempat mendapat rawatan daripada penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Tendong," katanya.

Menurutnya, Nai Zura menghembuskan nafasnya kira-kira jam 12.30 tengah hari. - SH

15 May 2017

Tiga lagi ditahan Jais, mengajar tanpa tauliah

SHAH ALAM - Tiga lagi individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah masjid di Rawang, semalam.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim berkata, ketiga-tiga ditahan kira-kira jam 9.50 malam dan dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Kuang untuk dirakam percakapan dan disoal siasat.

"Mereka ditahan pegawai bahagian Pengurusan Penguatkuasaan di bawah Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 Pindaan 2015.

"Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, operasi itu akan diteruskan melibatkan seluruh kawasan dalam negeri.

"Ops Mengajar Tanpa Tauliah ini telah bermula 13 Mei lalu melibatkan seluruh kawasan Negeri Selangor selaras dengan titah Sultan Selangor baru-baru ini.

"Ia akan diteruskan dari masa semasa bagi menjaga keharmonian masjid dan surau di negeri ini," katanya. - SH

* Semakin islamik umat di negeri Selangor selepas ini. Tahniah Datuk Haris!

Exco PAS tidak harus heret Institusi Raja, kata Mahfuz

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, amat tidak wajar bagi Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man cuba untuk menyandarkan kedudukan tiga exco PAS di Selangor dengan proses pelantikan yang dibuat oleh Sultan Selangor.

Ini kerana, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, PAS yang membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR, yang menerajui kerajaan negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mahfuz berkata, PAS sendiri melalui muktamar dan Majlis Syura Ulama memilih untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan DAP atas alasan mereka telah mengkhianati PAS dan menentang agenda perjuangan yang dibawa PAS.

“Ini bermakna PAS tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua parti tersebut dan ini turut meliputi mana-mana kerajaan yang terdiri dari kedua-dua parti tersebut.

“Dari segi moral politiknya PAS wajib untuk memisahkan diri dari terlibat atau bersekongkol di dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa oleh PAS telah mengkhianati PAS.

“Dalam situasi yang berlaku di Selangor sekarang, exco-exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta-merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulama mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim, pada Sabtu yang dilaporkan berkata PAS mungkin terpaksa menerima keputusan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang meminta exco parti itu untuk meletakkan jawatan.

Berikut kenyatan penuhnya itu:

Saya berasa terpanggil untuk mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti mana yang disiarkan di dalam beberapa portal berita utama di mana beliau mengatakan bahawa anggota-anggota exco PAS kerajaan negeri Selangor akan hanya meletak jawatan sekiranya ianya mendapat perkenan dari Tuanku Sultan Selangor.

Pertamanya, Tuan Ibrahim seharusnya memahami bahawa PAS sendiri melalui muktamar dan Majlis Syura Ulama telah memilih untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP atas alasan mereka telah mengkhianati PAS dan menentang agenda perjuangan yang dibawa PAS.

Ini bermakna PAS tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua parti tersebut dan ini turut meliputi mana-mana kerajaan yang terdiri dari kedua-dua parti tersebut.

Dari segi moral politiknya PAS wajib untuk memisahkan diri dari terlibat atau bersekongkol di dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa oleh PAS telah mengkhianati PAS.

Dalam situasi yang berlaku di Selangor sekarang, exco-exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulama mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa.

Perletakan jawatan ini adalah untuk menunjukkan isyarat bahawa pendirian PAS Pusat dan Selangor selari dengan keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulama di mana PAS tidak lagi dapat bersama PKR di atas alasan-alasan pemutusan tahaluf siyasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.

Sungguh menghairankan apabila Timbalan Presiden PAS sendiri kelihatan masih ragu-ragu di dalam mendukung keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulama apabila cuba untuk menyandarkan kedudukan exco PAS di Selangor kepada proses pelantikan exco-exco tersebut yang dibuat oleh Tuanku Sultan Selangor.

Amatlah tidak wajar Tuan Ibrahim dan PAS untuk mengheret institusi raja dan mencari perlindungan politik istana semata-mata untuk mempertahankan ghanimah kedudukan exco PAS di Selangor.

Tuan Ibrahim selaku seorang tokoh politik kanan sepatutnya arif bahawa di dalam konteks sistem Raja Berperlembagaan, pelantikan exco kerajaan egeri walaupun dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja, tetapi ia adalah atas nasihat dan cadangan nama yang diangkat oleh Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Justeru, Raja-raja di dalam membuat pelantikan tersebut adalah tertakluk kepada nasihat badan Eksekutif dalam rangka melaksanakan tugas perlembagaan (constitutional duty) mereka seperti mana yang dinyatakan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan atau di dalam konteks negeri Selangor, merujuk kepada Artikel 53 dan 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Sedangkan pertimbangan dan pilihan untuk melantik mana-mana orang yang layak untuk menjadi menteri atau anggota exco, adalah merupakan hak dan tanggungjawab Perdana Menteri atau Menteri Besar selaku ketua kepada kerajaan dan badan Eksekutif.

Bagi saya, Tuan Ibrahim tidak perlu mengulangi ‘skrip’ yang pernah dimainkan oleh mantan-mantan exco kerajaan Kelantan dari Parti Melayu Semangat 46 yang enggan meletakkan jawatan exco pada tahun 1996.

Walaupun pada ketika itu Semangat 46 telah memutuskan hubungan dengan PAS dan kemudiannya dibubarkan bagi membolehkan ahli-ahli parti tersebut menyertai Umno atas alasan pelantikan mereka dibuat oleh Sultan Kelantan, selain dari dalih kononnya untuk meneruskan mandat yang diperolehi bersama Angkatan Perpaduan Ummah di dalam Pilihanraya Umum 1995.

Tuan Ibrahim dan PAS seharusnya sedar dan berasa malu kepada Umno yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir ketika itu yang secara tegas dan bermaruah mengarahkan kesemua exco-exco tersebut yang diketuai oleh Datuk Rozali Isohak selaku Timbalan Menteri Besar II untuk segera meletakkan jawatan atas dasar Umno tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan PAS.

Situasi politik di Selangor tiada pilihan bagi PAS selain menarik diri dari kerajaaan Selangor.

Kecuali tiga exco dari PAS berjiwa rakyat dan berjiwa Selangor,mereka mempunyai pilihan untuk menyertai mana mana Parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memperkukuhkan kerajaan Selangor serta menggerakan gelombang PRU-14 untuk mengalahkan Umno /BN dan membina semula Malaysia tercinta.

Tidak sewajarnya PAS meletakan beban untuk mengosongkan kerusi exco kerajaan negeri kepada Datuk Seri Azmin Ali. Bukannya Azmin dan PKR yang memutuskan hubungan tetapi sebaliknya PAS yang memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

Oleh itu, tidak ada keperluan untuk Azmin nak minta exco PAS meletakan jawatan. Janganlah situasi di Selangor ini menjadikan rakyat melihat PAS tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala.  - Mkini

14 May 2017

PAS kini sasar 100 kerusi parlimen


PAS hari ini membayangkan keyakinan mereka untuk bertanding di lebih 100 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan, berkata daripada jumlah itu PAS menjangkakan 40 kerusi adalah yang "mudah menang" manakala selebihnya perlu diusahakan dengan lebih gigih.

“Kita mungkin akan meletakkan lebih 100 kerusi (parlimen) yang akan dipertandingkan, cuma 40 itu kita sasarkan menang dan mudah menang.

“Di samping itu, kita perlu menang lebih lagi antara 60 hingga 80 kerusi ke atas berdasarkan kerja kuat jentera parti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Komuniti Bukit Damansara di Kuala Lumpur hari ini.

Nasrudin sebelum itu menghadiri Konvesyen Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan.

Katanya PAS berpotensi untuk menang walaupun berlakunya pertandingan tiga penjuru.

Malah katanya pertandingan tiga penjuru itu tidak semestinya memberi kelebihan kepada BN.

Kenyataan itu senada dengan peringatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Sokongan PAS kian meningkat


“Tak semestinya apabila berlaku tiga penjuru, maka itu akan memberi kemenangan besar kepada Umno dan BN, dia berbeza dengan perkembangan politik pada PRU lepas,” katanya.

“PAS melihat peluang terhidang besar di hadapan untuk kita mencapai kemenangan banyak kerusi parlimen pada pilihanraya nanti,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, PAS Wilayah Persekutuan menyenaraikan kerusi parlimen yang akan ditandinginya.

Berjumlah sembilan, antara kerusi yang akan menyaksikan PAS meletakkan calon ialah kerusi bekas rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dulu.

Kerusi itu ialah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak,Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Dua daripada kerusi itu kini diwakili naib presiden PKR, iaitu Lembah Pantai (Nurul Izzah Anwar) dan Batu (Tian Chua). Bandar Tun Razak pula diwakili bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Segambut Lim Lip Eng (DAP).

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad berkata keputusan untuk bertanding di sembilan kerusi parlimen itu dibuat selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa tahaluf siyasi dengan PKR sudah terbatal.

Pada masa sama, katanya, PAS berpendapat sokongan yang diterimnya semakin meningkat.

"Kita lihat sokongan terhadap PAS semakin meningkat terutamanya di kalangan orang Melayu Islam, di samping kita masih lagi mendapat sokongan pengundi bukan Islam," katanya.

Ditanya mengenai peluang PAS untuk menang di Segambut kerana ia bukan kawasan majoriti Melayu, Mohamad berata, beliau memang yakin kemenangan akan memihak kepada PAS.

"Sasaran pertama sudah tentulah daripada pengundi Islam untuk undi PAS di Segambut di samping undi orang Cina dan India, kerana tidak semua mengundi DAP," katanya.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi parlimen dan daripada jumlah itu PAS gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU ke-13. - Malaysiakini

Jais tahan penceramah beri kuliah tanpa tauliah

Maksiat pun semakin kurang di Selangor
SHAH ALAM - Seorang penceramah berusia 42 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas disyaki mengajar kuliah tanpa tauliah sebuah surau di Seksyen 8, malam semalam.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais pada jam 9.15 malam.

"Tangkapan dijalankan dibawah Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 Pindaan 2015 kerana disyaki mengajar agama Islam atau mengajar apa-apa tentang Islam tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor dibawah seksyen 118, Enakmen yang sama.

"Berikutan dengan kejadian ini, Pengerusi, Setiausaha dan beberapa ahli jawatankuasa surau, akan diarahkan hadir ke Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais mengikut Seksyen 58, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor.

"Sekiranya gagal hadir, waran tangkapan akan dibuat terhadap mereka," katanya menerusi kenyataan.

Haris berkata, pihaknya mengingatkan jawatankuasa masjid dan surau supaya mematuhi arahan serta garis panduan tadbir urus masjid yang telah dikeluarkan untuk tidak menjemput penceramah yang tidak mempunyai tauliah bagi memberikan ceramah.

"Jais akan mengambil tindakan tegas agar jawatankuasa dapat mematuhi peraturan yang telah di tetapkan.

"Umat Islam juga, disarankan untuk menghormati titah Sultan Selangor agar mematuhi semua peraturan dan undang-undang berkaitan pengurusan masjid dan surau bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian para jemaah," katanya.

Penceramah ini ditahan Jais selepas didapati memberi kuliah tanpa tauliah, malam kelmarin. - SH

10 May 2017

Selangor nafi batal dasar tiada beg plastik percuma

Apa beza dengan UmnoBN jika menyusahkan rakyat???
Kerajaan Selangor tidak membatalkan dasar mengenakan caj terhadap penggunaan beg plastik di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap artikel Malaysia Gazzete yang menyatakan bermula 1 Mei, beberapa pasar raya di Shah Alam dan Klang telah menghentikan caj 20 sen untuk penggunaan beg plastik kepada pelanggan atas arahan pengurusan mereka.

Wong yang menafikan laporan itu, berkata, premis perniagaan yang enggan mematuhi arahan boleh menyebabkan risiko lesen operasi mereka dibatalkan.

"Mereka boleh dikenakan denda sehingga tiga kali, selepas itu lesen mereka akan ditarik balik," katanya, sambil menambah kerajaan negeri juga melarang premis perniagaan menggunakan bahan polistirena untuk tujuan pembungkusan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis #PeopleCentric di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Wong, pegawai penguatkuasa menjalankan pemeriksaan yang kerap untuk memastikan pemilik perniagaan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau juga mendedahkan bahawa kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan dasar tanpa beg plastik di bazar Ramadhan pada bulan puasa yang jatuh pada akhir bulan ini.

Selangor memulakan dasar tiada beg plastik percuma seminggu sekali sejak tahun 2010 tetapi ia telah diperluaskan setiap hari bermula tahun ini. - Malaysiakini

Iran Ancam Hancurkan Arab Saudi

KAHERAH: Ketegangan antara Iran dan Arab Saudi kembali memuncak ekoran pertikaman lidah antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara itu berhubung peperangan di Yemen.

Terbaharu, Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Hossein Dehqan memberi amaran bahawa tentera republik itu sedia memusnahkan Arab Saudi, kecuali Makkah dan Madinah sekirannya negara jirannya itu melakukan sebarang tindakan bodoh.

Amaran Hossein itu dikeluarkan selepas Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berkata, peperangan antara Riyadh dan Teheran akan berlaku di bumi Iran.

"Kita (Arab Saudi) akan pastikan peperangan berlaku di Iran berbanding Arab Saudi," kata putera tersebut.

Sebaliknya Hossein tidak terancam dengan kenyataan Mohammed itu dan membalasnya dengan amaran yang lebih keras.

"Kita memberi amarakn kepada mereka agar tidak melakukan perkara bodoh. Jika mereka berdegil, kita akan memusnahkan seluruh negara itu kecuali Makkah dan Madinah," katanya.

Beliau merujuk kepada kempen pengeboman tentera Arab Saudi di Yemen yang mengorbankan lebih 12,000 orang.

"Arab Saudi fikir mereka boleh bertindak sesuka hati hanya kerana memiliki tentera udara," katanya.

Terdahulu, Putera Mohammed yang juga menteri pertahanan, berkata, Arab Saudi menolak hubungan dengan Iran selepas Teheran mengumumkan sedia untuk meredakan ketegangan sekiranya Riyahd menghentikan peperangan di Yemen.

Selain itu, Mohammed berkata, rundingan dengan Iran adalah mustahil memandangkan objektif Teheran yang mahu menguasai dunia Islam. - Mstar

09 May 2017

Pengurus Besar Pusat Urus Zakat Antara Ditahan SPRM

GEORGETOWN: Empat kakitangan Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua mereka termasuk seorang pengurus besar berpangkat Datuk dibawa ke mahkamah di sini kira-kira pukul 3 petang Selasa dengan menaiki dua kenderaan bersama tujuh kontraktor yang turut direman.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid membenarkan permohonan reman terhadap semua suspek.

Semua suspek dipercayai terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan wang hasil kutipan zakat. - Msar

Polis minta bantuan saksi kejadian samun berparang di Restoran Taman Melawati

KUALA LUMPUR – Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian samun berparang di sebuah restoran di Taman Melawati yang kini viral dalam media sosial, untuk tampil membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, polis kini menjalankan siasatan berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari restoran berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam semalam, enam lelaki bersenjatakan parang dan memakai topi keledar meluru masuk ke premis berkenaan dengan mengacukan parang sebelum mengarahkan mangsa untuk menyerahkan barangan berharga.

Mangsa antaranya ialah pekerja serta pelanggan restoran itu dan kerugian yang dialami sebanyak RM29,745. – Bernama

Polis buru 6 lelaki rompak restoran

KUALA LUMPUR 7 Mei – Polis sedang memburu enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah restoran di Taman Melawati, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, kesemua suspek yang bertopi keledar memasuki premis ber­kenaan dengan mengacukan parang dan mengarahkan kesemua pelanggan dan pekerja menye­rahkan barangan berharga.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, salah seorang daripada suspek juga telah bertindak mengambil wang tunai daripada kaunter juruwang sebelum me­larikan diri menaiki motosikal.

“Ketika kejadian seramai lapan orang berada dalam premis itu melibatkan tiga lelaki dan lima wanita sebelum mereka diserbu oleh suspek yang mana salah seorang daripadanya bersenjatakan parang berukuran 0.4 meter.

“Buat masa ini kita anggarkan jumlah kerugian dialami mang­sa RM29,745. Polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi me­ngenal pasti suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan ­si­a­s­atan awal kesemua suspek menggunakan topi keledar bercermin gelap bagi mengelakkan identiti mereka dicam.

Jelasnya, kes itu disiasat me­ngikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dan bersenjata.

Video berhubung kejadian ber­kenaan tular di media sosial yang menyaksikan kesemua suspek bertopi keledar itu memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan parang.

Rakaman CCTV berdurasi 1 minit 3 saat itu menyaksikan suspek bertindak mengambil beg tangan dan barangan berharga pelanggan termasuk wang tunai dari mesin juruwang sebelum melarikan diri. - Utusan

Netizen berang kes rompak kedai makan


SHAH ALAM - Susulan kes rompakan di kedai makan yang tular di media sosial sejak kelmarin, netizen berharap perompak tersebut dapat segera diberkas polis.

Terkesan dengan berita itu, netizen meluahkan kemarahan mereka di media sosial dan  menyifatkan kumpulan tersebut sepatutnya mencari rezeki yang halal, bukannya merompak.

Seorang pengguna Facebook, Akis Nur berkata, mereka sepatutnya menggunakan tubuh badan yang sihat untuk mencari rezeki dan bukannya merompak.

“Kepada perompak-perompak itu, cuba lihat diri tu, cukup tak kaki tangan dan anggota badan lain? Kalau cukup, mengapa tidak gunakan nikmat ALLAH SWT untuk cari rezeki?

“Tidak kah kami berasa malu dengan orang kurang upaya (OKU) yang cacat anggota pun boleh bekerja gigih cari rezeki,” tulisnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, enam lelaki tempatan yang memakai topi keledar telah menyamun pelanggan dan pekerja di sebuah restoran di Taman Melawati.

Suspek yang bersenjatakan parang telah mengarahkan mangsa untuk menyerahkan barang berharga.

Sementara itu, seorang lagi pemilik akaun Facebook dengan nama Lc Man Abu Ledang pula berdoa agar dipermudahkan untuk pihak berkuasa menahan suspek.

“Ya ALLAH SWT, kau bantulah pihak berkuasa menangkap penjenayah itu dan permudahkanlah penangkapan kesemua suspek tersebut,” tulisnya pula.

Bagi Wmuhammad Hazim Al-Ansar pula dengan nada bergurau memberikan idea buat pengusaha restoran untuk menangani isu ini.

“Lepas ini pengusaha restoran boleh pohon lesen senjata api, boleh tembak mati lanun-lanun ni," tulisnya.

Perkara tersebut turut dipersetujui oleh seorang lagi pengguna Facebook, John Remy yang mengatakan perkara seperti ini tidak wajar dibiarkan bermaharajalela.

“Pihak polis patut tembak sahaja puak penjenayah macam ini jika dapat dikesan, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Masa orang tengah makan malam, sempat lagi mereka menyamun,” tulisnya. - SHarian

Pemuda merokok hingga paru-paru bocor

Kuala Lumpur: Paru-parunya bocor dan bahagian yang bocor itu terpaksa dibuang. Memang mengerikan, namun itu yang harus diterima Muhammad Aidelhan Surjonoh, 28, akibat merokok

Pemuda yang tinggal di Kluang itu berkata, semuanya bermula dengan sesak nafas pada 24 Februari lalu

“Mula-mula saya sesak nafas. Pergi ke klinik di Kluang, dan doktor kata mungkin gastrik atau otot tegang, tetapi selepas beberapa hari, keadaan saya masih belum pulih

“Kemudian saya ke Hospital Pantai Batu Pahat dan sempat jalani pembedahan untuk keluarkan angin dalam paru-paru, tetapi masih tidak pulih. Apabila buat imbasan CT, doktor dapati paru-paru saya bocor

“Hospital itu minta saya rujuk ke Hospital Mahkota, Melaka. Di situ, saya jalani pembedahan untuk menampal paru-paru yang bocor. Malangnya kaedah itu tidak berjaya dan doktor sarankan bahagian bocor sebesar lima sentimeter dibuang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam

Selepas hampir sebulan menjalani pembedahan terbabit, Aidelhan yang sebelum ini aktif bersukan berkata, dia masih belum pulih sepenuhnya dan tidak boleh menarik nafas dalam

“Keadaan saya semakin baik, tetapi belum pulih sepenuhnya. Saya belum boleh menarik nafas dalam. Menurut doktor, ia mungkin ambil masa tiga bulan hingga setahun untuk pulih

“Dulu saya aktif bersukan seperti bermain futsal, takraw atau badminton, tetapi sekarang doktor hanya galakkan saya berjalan,” katanya yang mula merokok sejak berusia 17 tahun

Tambah Aidelhan, dia mula sedar bahawa merokok bukan sekadar membahayakan kesihatan malah ia juga satu pembaziran

“Sebelum ini saya memang ada niat nak berhenti merokok. Tapi ia sekadar niat, justeru saya anggap apa yang berlaku ada hikmah kerana jika tidak sakit, mungkin saya tak berhenti merokok

“Sekarang apabila dah tinggalkan rokok, baru saya sedar hampir RM400 saya bazirkan setiap bulan untuk beli rokok. Kalau jumlah itu diberi kepada ibu bapa kan lebih baik,” katanya

Aidelhan turut dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya bahawa paru-parunya boleh hancur sekiranya dia tidak berhenti merokok

“Sudah sebulan saya berhenti merokok. Saya faham memang susah nak berhenti kerana saya sendiri mengalami pening-pening dan lemah badan pada minggu pertama

“Masuk minggu kedua dan ketiga, saya mula biasakan diri tanpa rokok. Mula-mula memang susah. Kalau tak boleh berhenti terus, mulakan dengan kurangkan merokok,” katanya. - HMetro

07 May 2017

Isteri warga Turki sanggah tuduhan Zahid

Isteri warga Turki, T Karaman yang ditahan oleh polis atas dakwaan melakukan 'aktiviti yang mengancam keselamatan negara' menafikan tuduhan kaitan suaminya dengan kumpulan pengganas IS.

"Saya tahu dari berita bahawa mereka menuduhnya atas IS, (mereka) pembunuh," kata Ayse Gul Karaman.

Selepas berjaya menenangkan semula dirinya, Ayse memberitahu pemberita di Kuala Lumpur hari ini bahawa pergerakan IS adalah bertentangan dengan kepercayaan suaminya.

"Ideanya adalah untuk cinta, dia seorang yang penyayang. Dia suka membantu dan menyokong (pendakwah berpangkalan di Amerika Syarikat) idea Fethullah Gulen mengenai cinta, toleransi dan kesabaran.

"Ia bertentangan dengan IS. Bagaimana mereka boleh mendakwanya dengan perkara yang tidak munasabah? "

Pada Rabu yang lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Karaman dan I Aslan ditahan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata, kedua-dua tahanan disiasat atas kaitan dengan IS. - Mkini

05 May 2017

Puluhan, termasuk Exco PAS sambut MB di KLIA


Ketika spekulasi bertiup kencang bahawa kemungkinan kerajaan negeri Selangor bakal tumbang, Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali disambut oleh puluhan penyokong yang membawa pelbagai sepanduk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

Antara yang hadir adalah dua orang anggota exco PAS Zaidy Abdul Talib dan Dr Ahmad Yunus Hairi bersama timbalan speaker DUN Selangor, Shafie Ngah, yang juga adalah timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor.

Walau bagaimanapun, kelibat Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad, yang juga seorang anggota exco kerajaan negeri tidak kelihatan pada majlis anjuran kelab penyokong kerajaan (BBC) negeri itu.

"Dewan Undangan Negeri belum dibubarkan, bukan?" kata Azmin yang sempat berseloroh ketika bersalaman dengan timbalan speaker.

Antara yang hadir termasuk ADUN Sekinchan Ng Suee Lim, ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari, Ahli Parlimen, Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Manakala wakil rakyat PAS yang hadir adalah ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman, ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan dan ADUN Seri Sedang,Noor Hanim Ismail.

Azmin ketika bercakap kepada pemberita, menolak spekulasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan negeri yang diterajuinya bakal tumbang.

Ini susulan Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, minggu lalu, yang bersetuju meminta Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Jelas sekali, pilihan raya umum semakin hampir, tetapi angan-angan Umno masih jauh daripada realiti.

"Umno beranggapan dengan membuli kerajaan negeri, kita akan hadapi masalah, tetapi hari ini kerajaan Selangor begitu kuat," katanya.

Azmin dan delegasinya pulang susulan lawatan ke Maghribi, Jordan dan Mesir sejak 1 Mei lalu bagi menyampaikan sumbangan pendidikan Peduli Siswa RM2.5 juta kepada pelajar Selangor di sana.

PAS minggu lalu sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Parti itu kini masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR, dengan tiga wakilnya dilantik sebagai exco.

Langkah itu jika diluluskan Majlis Syura Ulama bakal memberi kesan terhadap kedudukan exco PAS di bawah pentadbiran Azmin. - Mkini

Rafizi dedah butiran dana RM2.7 juta

Butiran itu didedahkan kira-kira dua jam selepas pemimpin muda PKR Adam Rosly, yang terpalit dakwaan rasuah, menuntut perkara itu secara terbuka awal petang ini.

Rafizi, dalam butiran bersama kenyataan medianya, antaranya mendedahkan pendapatan Invoke sejak ditubuhkan hingga 30 April 2017 adalah sebanyak RM2,780,652.

Daripada jumlah itu, RM787,049 dikatakan disuntiknya secara peribadi daripada dana berpunca daripada simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera.

“Saya juga terpaksa menambah suntikan setiap bulan dari gaji saya dan dengan membayar beberapa perbelanjaan Invoke menggunakan kad kredit saya,” katanya.

Berdasarkan butiran itu, sebahagian besar dana Invoke berpunca daripada majlis kutipan dana, iaitu sebanyak RM857,369.

Sebahagian besar dana itu dibelanjakan untuk gaji kakitangan (RM888,487), talian telefon dan Internet pusat panggilan (RM326,301) dan aset tetap (RM300,341).

Beliau sendiri, kata Rafizi, tidak menerima gaji daripada badan itu.

“Tidak ada satu sen pun perbelanjaan peribadi saya dibayar oleh Invoke,” katanya.

Adam hari ini mendakwa Rafizi gagal mendedahkan butiran pengumpulan dananya, walaupun sering menyeru semua pihak mengisytiharkan aset.

Tiga hari selepas Adam diheret ke mahkamah, Rafizi berkata, PKR wajar menjauhkan diri daripada kemelut peribadi pemimpin akar umbi itu, terutama menjelang pilihan raya umum ke-14.

Rafizi berkata PKR mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain.

Sementara itu, bagi NOW pula, badan pembocor maklumat itu tidak mempunyai sebarang pendapatan sepanjang tahun 2016 dan 2017 kerana tidak menganjurkan sebarang majlis kutipan dana.

Perbenlaannnya pula hanya minimum (hanya sewa pejabat) dan tidak mempunyai kakitangan.

Kedua-dua badan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun kewangan INVOKE Solutions Sdn Bhd adalah bagi tempoh berakhir 31 Disember 2017.

Kedudukan kewangannya pula, kata Rafizi, boleh disemak dari semasa ke semasa mengikut carian di SSM. - Mkini

Sudah lama bersabar dengan Rafizi


SHAH ALAM - Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly bertegas, beliau kini sudah hilang sabar dengan perilaku Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan Adam berkata, beliau dan beberapa pemimpin parti telah lama bersabar dengan beliau bagi memelihara perpaduan dan reputasi PKR.

"Bagaimanapun, demi kepentingan parti dan orang ramai, saya tidak boleh berdiam diri lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu menurutnya, beliau kini tidak lagi boleh mendiamkan diri berhubung kutipan dana secara besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Rafizi (NGO Invoke dan NOW).

"Ini koleksi wang daripada orang awam secara berterusan.

"Satu perkara aneh apabila Rafizi telah gagal untuk mendedahkan butiran pengumpulan dana tersebut, walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka," katanya lagi.

Dalam usaha untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap PKR dan pembangkang, dan selaras dengan prinsip yang kerap beliau laungkan iaitu prinsip ketelusan, tegas Adam, beliau menggesa Rafizi mendedahkan dalam masa 48 jam bermula hari ini berkaitan isu berkenaan.

"Iaitu jumlah wang yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh NGO beliau Invoke dan NOW," katanya.

Dalam pada itu, tegas Adam, Rafizi juga perlu menyatakan bagaimana wang telah dibayar setakat ini.

"Dan menyatakan nama semua individu yang telah menerima dana yang dikumpul oleh Invoke.

"Sekiranya Rafizi  gagal mematuhi tuntutan ini , saya akan mengambil tindakan sewajarnya. Kerana kita perlu memelihara keyakinan orang ramai terhadap PKR dan Pakatan Harapan," katanya lagi.

Sementara itu, Sinar Harian akan mendapatkan komen Rafizi berhubung perkara ini. - SH

Polis tahan dua beradik terlibat kes tetak

GERIK - Polis berjaya menahan dua beradik dipercayai terlibat dalam kejadian tetak seorang lelaki warga emas di hadapan sebuah kedai makan di Taman Kota Tampan, Lenggong di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, K Lathmana, 67, ditemui mati dengan kesan putus pada pergelangan tangan kirinya selain kesan tetakan di telinga kirinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 45 tahun itu berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas kejadian itu dilaporkan.

“Mereka ditahan di sebuah taman permainan di Ayer Tawar, Manjung kira-kira jam 12.35 tengah hari. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 39 tahun didapati positif dadah.

“Kita turut merampas sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang mengandungi parang dan pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu bermotifkan dendam kepada keluarga mangsa namun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. - Sinar Harian

04 May 2017

Di Marang Hadi dan Shabery dapat restu PM




Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah seorang daripada tetamu kehormat majlis rasmi kerajaan yang diadakan di Marang, Terengganu hari ini.

Malah beliau menjadi sebahagian daripada tokoh yang menjayakan sidang media bersama pemimpin kanan Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, serta beberapa pegawai kanan Jabatan Perikanan Malaysia serta Petronas.

Ditanya wartawan sama ada kerjasama sebegitu akan diteruskan selepas ini, Ahmad Shabery berkata beliau akan memaklumkannya nanti.

Namun Ahmad Shabery menegaskan kehadiran Abdul Hadi itu sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Najib Razak.

"Insya-Allah saya akan maklumkan (kemudian), dan (majlis) hari ini dah dimaklumkan kepada datuk seri perdana menteri.

"(Beliau) bukan saja merestuinya malah awal-awal lagi mendoakan semuanya berlangsung dengan selamat, dan menyampaikan salam kepada tuan guru," katanya merujuk kepada Abdul Hadi.

Panggilan "tuan guru" biasanya digunakan oleh anggota PAS atau penyokong parti itu sebagai tanda penghormatan tinggi terhadap Abdul Hadi.

Shabery dan Abdul Hadi sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman untuk program pelancaran tukun tiruan, Rig To Reef, antara Jabatan Perikanan dan Petronas.

Menurut anggota Majlis Tertinggi Umno itu, majlis yang mereka hadiri hari ini bukan sekadar suatu simbolik untuk nelayan sebaliknya menjadi proses kepada amalan politik matang

"Di mana kepentingan rakyat dan negara mengatasi segalanya," kata Shabery.

Rakaman sidang media itu disiarkan di Facebook Terengganu Kini.

Mengenai tanggapan negatif yang mungkin lahir daripada penyertaannya hari ini, Abdul Hadi pula menjelaskan, orang ramai perlu faham keadaan begitu tidak berlaku di negara yang mengamalkan demokrasi secara matang, termasuk di barat.

"Insya-Allah rakyat akan faham, apabila rakyat menyedari bahawa apa yang penting ialah hak mereka dijaga dengan baik.

"Rakyat boleh berfikir dengan matang, kerana pelaksanaan (politik matang) secara praktikal ini lebih penting daripada teori.

"Mereka yang bersikap negatif terhadap usaha ini lebih bergantung kepada teori berbanding praktikal," katanya.

Abdul Hadi juga mengingatkan, di negara ini masih ada banyak "benda negatif" yang ditinggalkan penjajah dan ia perlu dihapuskan.

"Perkara yang boleh menimbulkan ketegangan, kita kena hentikan, tarik hand brake dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya," katanya.

Untuk rekod, hubungan Abdul Hadi dan PAS dengan Shabery sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru.

Suatu ketika dulu Shabery - bekas pensyarah Universiti Malaya - adalah seorang daripada pemimpin utama Parti Semangat 46 suatu ketika dulu.

Beliau akhirnya menyertai Umno apabila parti berkenaan dibubarkan. - Mkini

01 May 2017

(Video) "Hangpa kebuloq ka?" soal Mahfuz


Nasrudin gagal, status quo kekal


Cubaan Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan untuk menempatkan diri dalam kalangan tiga naib presiden PAS gagal hari ini.

Selepas keputusan diumumkan, perwakilan memilih untuk mengekalkan semua tiga penyandang.
Keputusan itu juga menampakkan Nasrudin tertinggal agak jauh berbanding calon lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, yang membuat pengumuman itu mengesahkan Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad mengekal jawatan mereka.

Menurut pengumuman itu Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang memperoleh sokongan terbanyak dengan 1,062 undi, diikuti Mohd Amar (950 undi) dan Iskandar (703 undi).

Nasrudin yang sebelum ini diberi kepercayaan oleh parti itu menjadi ketua penerangan sekadar mengumpul 478 undi.

Sebelum ini Nasrudin dilihat mungkin berpeluang melangkah lebih jauh dalam politik PAS apabila bersedia menerima pencalonan untuk jawatan naib presiden.

Latar belakangnya sebagai seorang tokoh agama dan penceramah handalan dilihat boleh memberi kelebihan padanya. Kedudukannya sebagai bekas ketua pemuda PAS juga dikatakan menyumbang kepada undi daripada sayap parti itu.

Keputusan hari ini menyaksikan satu daripada tiga jawatan naib presiden diisi oleh seorang tokoh profesional, iaitu Iskandar yang juga exco kanan Selangor.

Sementara itu bagi jawatan Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, anak bekas mursyidul am parti itu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz memperoleh undi terbanyak daripada perwakilan.

Perkembangan itu berlaku selepas cubaan anggota parlimen Pasir Mas itu menempatkan diri dalam barisan kepimpinan utama PAS Pengkalan Chepa berakhir dengan kekecewaan.

Nik Abduh memperoleh 1,005 undi, manakala tempat kedua pula ialah exco Kelantan merangkap timbalan pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan yang memperoleh 1,001 undi.

Berikut senarai 18 orang AJK Pusat PAS yang terpilih untuk penggal 2017 - 2019:

    Nik Abduh Nik Abdul Aziz (1,005)
    Datuk Dr Mohd Fadzli Bin Hassan (1,001)
    Riduan Mohd Noor (970)
    Datuk Mohd Nassuruddin Daud (970)
    Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (932)
    Dr Najihatussolehah Ahmad (887)
    Dr Mohd Zuhdi Marzuki (878)
    Dr Halimah Ali (872)
    Sallehen Mukhyi (848)
    Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (797)
    Dr Rosni Adam (752)
    Razman Zakaria (730)
    Dr Azman Ibrahim (730)
    Mokhtar Senik (724)
    Kamaruzzaman Mohamad (715)
    Abdullah Hussin (666)
    Misbahul Munir Masduki (639)
    Muhtar Suhaili (618)

Seramai 26 calon menerima pencalonan untuk bertanding bagi jawatan AJK Pusat PAS ini. Selain 18 orang yang terpilih, presiden PAS boleh melantik enam lagi anggota tambahan menjadikan jumlah keseluruhan AJK Pusat PAS seramai 24 orang.

Keputusan hari ini juga menyaksikan menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Muhammad sekadar mengumpul 583 undi.

Dua jawatan tertinggi PAS sudah dimenangi tanpa bertanding, iaitu presiden (Abdul Hadi) dan timbalan (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man). - Mkini

Tuan Ibrahim: Umno tak boleh diharap jaga Islam

Pendirian bercanggah kerajaan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 menunjukkan bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk menegakkan Islam, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Keyakinan untuk jaga Islam pada PAS. Harap pada Umno, (memang) tak boleh harap.

"(Dalam isu) RUU355, TPM (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kata kerajaan akan bawa (bentang di parlimen). PM cakap kerajaan tak bawa.

"Nak harap macam mana, tak boleh," kata Tuan Ibrahim dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah sempena muktamar PAS kali ke-63 yang diadakan di Kota Sarang Semut, malam tadi.

Bulan lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 di Dewan Rakyat.

Antara lain usul dibawa Abdul Hadi selaku anggota parlimen Marang itu mencadangkan supaya had hukuman untuk kesalahan jenayah syariah ditingkatkan kepada denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebatan maksimum 100 kali.

Peruntukan semasa Akta 355 mengehadkan hukuman kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Zahid pada Mac lalu mengesahkan kerajaan akan mengambil alih pembentangan usul pindaan itu.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengumumkan di depan ribuan perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2016 untuk kerajaan mengambil alih pembentangan berkenaan.

Bagaimanapun selepas pemimpin tertinggi BN mengadakan mesyuarat pada 29 Mac lalu, Najib mengumumkan keputusan sebaliknya. - Mkini

'Hilang biasiswa JPA jika kritik kerajaan'

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu taklimat semalam memberi amaran kepada penerima biasiswa jabatan itu bahawa mereka mungkin kehilangan tajaan jika mengkritik kerajaan, lapor Sin Chew Daily.

Akhbar itu melaporkan, ia adalah antara enam amaran yang digariskan JPA kepada kira-kira 1,000 pelajar yang mendapat 9A + atau lebih dalam peperiksaan SPM dan menerima biasisiswa jabatan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dipetik sebagai berkata, kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima sekiranya mereka secara terbuka mengkritik kerajaan.

Tambahnya, kerajaan telah menyediakan dana kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran supaya dapat menimba ilmu dan menjadi profesional, oleh itu adalah tanggungjawab mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Selain itu Zainal Rahim berkata kaedah-kaedah penajaan tahun ini kekal sama seperti biasiswa JPA yang lalu.

Pada tahun ini, biasiswa JPA hanya ditawarkan bagi pelajar dalam negara berikutan kekangan kewangan yang dikatakan berpunca daripada kejatuhan harga minyak.- Mkini