16 May 2017

Mesyuarat PKR putuskan nasib exco PAS tanpa Azmin

Nasib PAS dalam kerajaan Selangor terutamanya melibatkan tiga exconya mungkin ditentukan malam ini ketika mesyuarat Biro Politik PKR.

Namun, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut kerana kini berada di luar negara.

Di Facebook dan Twitter, Azmin memberitahu beliau kini berada di Brussels, Belgium kerana mempunyai urusan berkaitan Invest Selangor.

Sehubungan itu, Malaysiakini telah cuba mendapatkan respon Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berhubung ketidakhadiran Azmin, namun masih tidak berjaya.

Semalam, dalam sidang media, Saifuddin memberitahu mesyuarat Biro Politik PKR akan diadakan malam ini.

Saifuddin turut memberitahu, Azmin telah memaklumkan kepadanya tentang butiran pertemuan bersama pesuruhjaya PAS serta tiga exco Selangor yang berlangsung pada Jumaat lalu.

"Saya percaya perkara ini akan disampaikan (dalam mesyuarat Biro Politik)," kata Saifuddin.

Sementara itu, pada sidang media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan, Ketua Setiausahanya Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan kepada Biro Politik PKR untuk menentukan nasib tiga exco PAS di Selangor.

Ditanya mengenai ketiadaan Azmin, Saifuddin Abdullah enggan mengulas lanjut dan meminta agar pertanyaan itu diajukan kepada setiausaha agung PKR.

Pada sidang media sama, Saifuddin Abdullah memberitahu, Pakatan Harapan masih terbuka untuk berbincang dengan parti pembangkang lain berhubung pengagihan kerusi pilihan raya umum.

Ditanya mengenai siapa parti pembangkang yang dimaksudkan, Saifuddin Abdullah berkata terdapat banyak parti pembangkang di Sabah, Sarawak dan di semenanjung.

"Ada banyak parti pembangkang di Sabah, Sarawak. Di semenanjung kita ada (Parti Sosialis Malaysia) PSM.

"Pakatan Harapan membuka ruang untuk rundingan (kerusi) dengan semua parti," katanya.

Ketika ditanya adakah ia termasuk PAS, Saifuddin hanya menjawab:

"Jika PAS masih mempertimbangkan mereka masih lagi pembangkang," katanya sambil ketawa. - Mkini

No comments:

Post a Comment