05 May 2017

Polis tahan dua beradik terlibat kes tetak

GERIK - Polis berjaya menahan dua beradik dipercayai terlibat dalam kejadian tetak seorang lelaki warga emas di hadapan sebuah kedai makan di Taman Kota Tampan, Lenggong di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, K Lathmana, 67, ditemui mati dengan kesan putus pada pergelangan tangan kirinya selain kesan tetakan di telinga kirinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 45 tahun itu berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas kejadian itu dilaporkan.

“Mereka ditahan di sebuah taman permainan di Ayer Tawar, Manjung kira-kira jam 12.35 tengah hari. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 39 tahun didapati positif dadah.

“Kita turut merampas sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang mengandungi parang dan pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu bermotifkan dendam kepada keluarga mangsa namun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment