30 May 2017

Cikgu dipenjara 34 tahun perkosa pelajar tingkatan 3

KOTA BHARU - Guru lelaki dipenjara 34 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol pelajar tingkatan tiga, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Nurhasliman Ghazali, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di rumah di Machang pada 7.30 malam, 23 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama pada 1 pagi, 25 April 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - HMetro


Ibu hampir pengsan anak tunggal dipenjara

KOTA BHARU 29 Mei – Ramadan yang memilukan bagi seorang ibu apabila melihat anak lelaki tunggalnya dipenjara selama 34 tahun serta lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dua kesalahan merogol pelajar tingkatan tiga kira-kira dua tahun lalu.

Ibu berusia lewat 50-an itu hampir rebah dan terpaksa dipapah oleh ahli keluarganya sebaik sahaja penghakiman tersebut dibacakan oleh Hakim Nazri Ismail.

Hakim Nazri membuat keputusan itu selepas pembelaan terhadap Nurhasliman Ghazali, 36, yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah rendah di Tanah Merah, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Nuhasliman didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun 10 bulan di sebuah rumah di daerah Machang pada pukul 7.30 malam, 23 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa telah merogol mangsa di lokasi sama pada pukul 1 pagi, 25 April 2015.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad yang mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Sepatutnya tertuduh yang merupakan seorang guru tahu membezakan baik buruk sesuatu perkara selain tidak mengambil kesempatan ke atas kedaifan mangsa,” kata Norazlinawati.

Terdahulu, peguam bela, Mohd. Zulhafiz Mohd. Zahid merayu supaya anak guamnya yang masih bujang itu dikenakan hukuman ringan kerana sudah insaf.

Bagaimanapun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 17 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan berjalan secara berasingan.

Tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa bagi menjalani hukuman penjara yang berkuat kuasa hari ini. - Utusan

* Siapa menzalimi siapa?

No comments:

Post a Comment