17 December 2008

Ibu bapa peserta Jerit boleh didakwa

Kanak-kanak dieksploitasi penganjur kempen haram

KUALA LUMPUR: Polis sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa 28 kanak-kanak yang menyertai kempen Berbasikal Untuk Perubahan anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) di Rawang, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata siasatan mendapati kanak-kanak berusia bawah 18 tahun itu mempunyai surat kebenaran ibu bapa bagi menyertai acara berkenaan.

“Kanak-kanak terbabit dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab menyertai perarakan haram oleh pertubuhan tidak berdaftar itu.

“Berdasarkan pertanyaan kepada kanak-kanak itu, mereka sendiri keliru dan tidak tahu kenapa mereka berada bersama kumpulan itu ketika ditahan,” katanya selepas majlis perasmian Kempen Pencegahan Jenayah Sempena Sambutan Musim Perayaan di Sunway Pyramid, Bandar Sunway dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Koh Hong Sun dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengadakan siasatan lanjut dan akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 jika mempunyai asas ibu bapa mereka turut terbabit dalam perkara itu.

Kelmarin, 58 individu termasuk 28 kanak-kanak ditahan kerana menyertai perarakan haram yang turut diiringi kumpulan penyokong menaiki bas, lori dan kereta persendirian di sekitar Sungai Choh, Rawang dekat sini.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan, polis mendapati 28 daripada mereka adalah kanak-kanak bawah umur. Justeru, mereka tidak ditahan sebaliknya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara menunggu kedatangan ibu bapa masing-masing.

Semua mereka termasuk penganjur perarakan, Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Gan Pei Nei disiasat kerana menyertai perhimpunan haram, dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi semalam.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, Jeyakumar akan didakwa mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mempergunakan kanak-kanak.

“Siasatan mendapati beliau bertanggungjawab sebagai penganjur perarakan itu dan jelas tindakannya mengeksploitasi kanak-kanak dalam perhimpunan haram itu melanggar undang-undang,” katanya. - Bharian

* Ibu bapa kanak-kanak boleh buat langkah pro-aktif dengan saman ketua polis Selangor

No comments:

Post a Comment