10 December 2007

10.12.07 - Siasatan isu musnah video Al-Qaeda bermula

WASHINGTON 9 Dis. – Para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan siasatan awal terhadap pemusnahan pita video yang memaparkan proses soal siasat dibuat secara buruk ke atas anggota Al-Qaeda.

Siasatan itu yang dijalankan secara bersama dengan pemantau dalaman Agensi Risikan Pusat (CIA), akan menentukan sama ada siasatan penuh perlu diadakan.

“Jabatan Kehakiman dan CIA mengumumkan hari ini bahawa Bahagian Keselamatan Jabatan Kehakiman akan memulakan siasatan awal dengan kerjasama Pejabat Ketua Inspektor CIA berhubung pemusnahan pita-pita video siasatan,” kata Jabatan Kehakiman dalam kenyataannya semalam.

Langkah itu diambil sehari selepas anggota Demokrat di Kongres menuntut siasatan segera dilakukan apabila agensi perisikan itu mengaku telah memusnahkan rakan-rakaman video pada 2005 bagi melindungi identiti ejen-ejen CIA.

Anggota Kongres Demokrat mendakwa tindakan CIA itu bertujuan menyembunyikan bukti salah laku dan penderaan yang dilakukan ke atas tahanan.

“Apakah tindakan yang menyebabkan CIA melakukannya? Jawapannya jelas, menyembunyikan bukti. Agensi itu terdesak menyembunyikan bukti mengenai amalan mereka,” kata Senator Ted Kennedy pada Jumaat lalu.

Kennedy dan anggota Demokrat menyatakan, siasatan perlu bagi menentukan sama ada CIA telah melanggar undang- undang kerana tindakan itu dilakukan semasa Kongres menyiasat dakwaan penderaan.

Akhbar The New York Times melaporkan, rakaman-rakaman terbabit dimusnahkan walaupun rayuan dibuat oleh White House dan Jabatan Kehakiman dan anggota Kongres pada 2003 supaya ia dimusnahkan.

– AFP

No comments:

Post a Comment