27 February 2016

Keputusan gantung Muhyiddin gerakkan Umno ke hadapan

KUALA LUMPUR - ‎Keputusan penggantungan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan bukti kerjasama Umno sebagai satu pasukan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan bukti Umno mampu bergerak seiring untuk berhadapan dengan rakyat.

"Hakikatnya, keputusan telah dibuat oleh MT dan keputusan yang dibuat ini bersandarkan kepada matlamat kita untuk melihat ke hadapan.

"Harapan saya bersandarkan kepada kerjasama satu pasukan dan secara peribadi saya, keputusan yang dibuat secara bersama (menggantung Muhyiddin), ia dapat membantu kita bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan tanpa kita mempertikaikan gerakan.

"Saya tengok penting dalam nak berhadapan dengan rakyat," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli MT, di Menara Dato' Onn, hari ini.

Muhyiddin hari ini dilaporkan digantung serta-merta daripada jawatan beliau dalam parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Muhyiddin digantung serta-merta]

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang media selepas Mesyuarat MT Umno yang berlangsung petang ini.

Difahamkan, ‎keputusan itu dibuat selepas ahli MT Umno sebulat suara menyokong usul tersebut yang dibawa secara bersama oleh semua ahli MT dalam satu mesyuarat, hari ini.

Menurut Hishammuddin lagi, keputusan penggantungan itu bukan sahaja diputuskan secara konsensus malah ia juga bersandarkan kepada keinginan pucuk pimpinan parti. - SH

23 February 2016

Nazri gesa Muhyiddin letak jawatan timbalan presiden Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatannya sebagai timbalan presiden Umno jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.

Semasa membuat gesaan itu, beliau berkata Perlembagaan Umno menyatakan dengan jelas tugas timbalan presiden parti itu adalah untuk membantu presiden.

"Adalah menjadi satu kesalahan, jika timbalan presiden melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan tugasnya itu," kata  Nazri, yang juga menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurutnya Muhyiddin juga silap bila beliau menyatakan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mengambil tindakan terhadap beliau kerana tiada bukti tentang kesalahannya itu.

"Sebelum Perhimpunan Agung Umno yang lepas, beliau (Muhyiddin) bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menganjurkan perjumpaan terbuka yang digunakan untuk menghentam Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Sekarang, beliau masih lagi mempersoalkan isu seperti sumbangan RM2.6 bilion yang diumumkan selesai peguam negara dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih lagi dalam prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara," katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja hari ini.

Nazri berkata semua perkara itu bukti nyata yang menunjukkan Muhyiddin tidak bersama presiden, dan perbuatannya itu boleh dikenakan tindakan.

"Muhyiddin juga tidak lagi menjalankan tugas seperti mana yang diharapkan  perwakilan yang mengundi beliau untuk menyandang jawatan itu," katanya.

Nazri berkata jika Muhyiddin enggan meletakkan jawatannya, beliau sendiri akan mengusulkan supaya Muhyiddin digantung keahliannya pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan datang. – Bernama

Sultan beri amaran keras pada 2 ahli politik Umno

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini memberi amaran keras kepada dua ahli politik Umno.

Baginda “menasihatkan” ahli politik, khususnya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat supaya tidak campur urusan istana atau membuat kenyataan mengaitkan istana.

Sultan Ibrahim juga memberi amaran keras kepada menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang sebelum ini memberi amaran untuk “membelasah” Tengku Mahkota Johor (TMJ) jika baginda campur tangan dalam politik.

“Ada juga pemimpin kerajaan yang langsung tidak beradab apabila bercakap, dengan melabelkan orang lain sebagai orang gila; dan lebih teruk lagi dengan angkuh dan sombong hendak “whack” anakanda saya (TMJ).

“Adakah pemimpin seperti ini patut dihormati? Ingatlah pepatah Melayu sering menyebut “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Pertelingkahan Nazri dan TMJ tercetus selepas anakanda sultan Johor memperli kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke majlis dialog terus terang #Nothing2Hide berkaitan isu 1MDB di Kuala Lumpur.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook rasmi pasukan bola sepak negeri Johor Southern Tigers.

Tengku Putra pula sebelum ini dilaporkan berkata, amaran Tunku Ismail kepada ahli politik yang cuba mendekati ayahandanya untuk kepentingan peribadi. patut juga dinyatakan kepada golongan taikun perniagaan negeri.

Sementara itu, dalam ucapan sama, baginda juga bertitah tidak akan mencampuri urusan mana-mana parti politik.

Titah baginda, walaupun banyak pemimpin politik yang datang berjumpa, baginda hanya mendengar cerita mereka dan tidak akan memihak kepada mana-mana parti atau individu.

“Apa yang saya pentingkan adalah kesejahteraan hidup rakyat saya dan kemakmuran negeri Johor mesti dijaga melalui perpaduan dan pengukuhan muafakat bangsa Johor,” titah baginda.

Timbalan Muhyiddin Yassin sebelum ini mengadap baginda selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri, yang dispekulasikan beliau mendapat dukungan istana. - SH

17 February 2016

Lelaki Dibelasah Kumpulan Penyamun Curi 53 Lembu


Duka Lara Guru - Ke Arah Penyelesaian


Zamihan terima notis 24 jam bertukar ke Jakim

SHAH ALAM - Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin  ditukar ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuatkuasa 24 jam.

Katanya, surat pertukaran itu diterima hari ini dan merasakan pertukaran itu adalah berkaitan dengan isu kontroversi debat antara beliau dan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

"Ya betul, saya akan ditukarkan dan perlu lapor diri pada Khamis ini.

"Jakim sudah keluarkan surat kepada saya, arah bertukar 24 jam ke Jakim‎," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Zamihan kini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Kementerian Dalam Negeri (KDN)‎.

Dalam pada itu, katanya lagi dia akan meminta pandangan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan pertukaran ini.

"Saya tak akan buat rayuan ini, ia ada kaitan plot nak tukarkan saya.

"Saya nak tanya Datuk Seri (Ahmad) Zahid  macam mana kalau dia masih perlukan saya di sini (KDN)...kalau tidak saya angkat kaki dari perkhidmatan awam," katanya. - SH

13 February 2016

Husam dirujuk Jawatankuasa Tatatertib Pas

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kerja Pas hari ini memutuskan supaya bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib parti susulan kelantangannya mengkritik parti Islam itu secara terbuka, sejak akhir tahun lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu dicapai dalam satu mesyuarat parti itu, hari ini berdasarkan aduan yang diterima oleh pejabat Agung Pas daripada beberapa pihak.

“Mesyuarat berpandangan aduan-aduan tersebut mempunyai merit dan asas serta bertaraf kes tatatertib yang boleh dipertimbangkan tindakan tatatertib sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Pas dan berdasarkan kepada prinsip asasi undang-undang iaitu Rules Against Bias dan Conflict of Interest.

“Mesyuarat memutuskan aduan-aduan tatatertib ini wajar diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib parti untuk diputuskan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkaitan serta Perlembagaan Pas,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Adun Salor itu menggesa Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin, meletak jawatan kerana didakwa gagal membawa isu hudud ke Parlimen.

Husam dilaporkan berkata, dua pemimpin Pas itu perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing sekiranya tidak dapat menjelaskan kegagalan membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Tuan Ibrahim juga memohon Jawatankuasa Tatatertib Pas melakukan prosiding displin ke atas Husam dengan kadar segara.

“Mesyuarat juga memohon kerjasama daripada Jawatankuasa Tatatertib parti supaya kes ini dipertimbang dan diputuskan dalam kadar segera bagi mengelakkan sesuatu kesan tidak baik, tohmahan yang berterusan serta merugikan parti,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata pelantikan Mursyidul Amnya, Datuk Dr Haron Din sebagai ketua kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam merupakan satu pengiktirafan kepada Pas.

“Bagi kami, itu bukan satu penghinaan, kalau kita dipanggil, itu satu penghormatan dan pengiktirafan, contoh Rayani Air mencadangkan Dr Haron Din, saya fikir satu pengiktirafan ilmu dan dia bersetuju untuk mendapat pandangan-pandangan bukan satu penghinaan dalam konteks parti.

“Ramai tokoh-tokoh Pas terlibat dalam Majlis Fatwa dan negeri-negeri. Adakah itu satu penghinaan? Di peringkat penasihat bank-bank pun ada, kena tengok dalam konteks yang lebih terbuka,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan Pas tidak akan menyertai Umno dan BN dan penglibatan pemimpin dan ahli-ahli  parti Islam itu dalam agensi kerajaan bukan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaanya.

“Nilai-nilai yang menyuruh ke arah kebaikan umat Islam dan rakyat negara ini, maka kita mendokonginya bersama, ia harus dibezakan antara kerjasama parti politik dan agensi-agensi (kerajaan)

“Kehadiran pemimpin Pas dalam program-program kerajaan untuk memberi sumbangan, pandangan dan idea perlu dilihat dalam konteks yang positif,” katanya lagi. - SH

12 February 2016

TPM lantik Haron Din ketua kluster dakwah MPI

Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din antara ketua kluster yang dilantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang bermesyuarat semalam.

Haron dilantik sebagai ketua kluster dakwah yang akan membawa cadangan kepada MPI untuk disepakati bersama dan menyelaraskan perbincangan di masa depan.

Selain Haron, enam lagi dilantik mengetuai kluster-kluster lain. Lantikan-lantikan lain seperti berikut:

    Tan Sri Muhamad Ali Hashim (ekonomi)
    Tan Sri Prof Dr Kamal Hasan (pendidikan)
    Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (sosial)
    Prof Datuk Sri Zaleha Kamarudin (undang-undang)
    Datuk Dr Siddiq Fadzil (pemikiran Islam)
    Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (politik)

Menurut Asyraf Wajdi, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, anatra resolusi dicapai dalam pertemuan semalam ialah untuk menghimpunkan 87 anggota-anggota MPI pelbagai latar dan ideologi bawah tujuh kluster khusus.

Ini, katanya, bagi membolehkan perbincangan lebih tuntas dan telus dilakukan bagi mencari formula terbaik dan mencadangkan penyelesaian terhadap pelbagai isu umat Islam di Malaysia.

“Di samping itu TPM setuju bahawa MPI harus meraikan kepelbagaian pemikiran dan menghormati perbezaan,” katanya.

Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan bekas pemimpin kanan PAS yang kini memimpin Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Nasharuddin Md Isa dikatakan turut hadir dalam acara itu.

Asyraf Wajdi sebelum ini berkata pertemuan pemimpin-pemimpin politik, NGO Islam, ulama dan cendekiawan Islam itu bertujuan membincangkan perkara-perkara melibatkan kepentingan umat Islam.

Menurut Bernama, MPI dianggotai tokoh pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin NGO.

Ia berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.

PAS sebelum ini menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam, termasuk Umno. - Mkini

11 February 2016

(Video) 'Tunggulah nanti apa terjadi kepada Umno Kedah'


(Video) Amanah: Tabung Haji bayar dividen daripada jualan aset


'Tidak jadi kafir, munafik keluar Pas masuk Amanah'

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil sikap terbuka terhadap khabar bahawa ada ahli parti itu yang mahu kembali kepada Pas.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, Amanah tiada masalah sekiranya benar ada ahli parti itu yang mahu berbuat demikian kerana ini negara demokrasi.

"Kalau ada orang Amanah nak balik kepada Pas, silakan. Buat apa yang kamu yakin adalah yang terbaik.

"Kalau ada orang Pas nak masuk Amanah pun, kita harap pihak Pas pun akan mempunyai sikap yang terbuka dan menerima kita semua ini sebagai bersaudara memperjuangkan dasar Islam untuk kebaikan negara dan umat.

"Tidak jadi kafir masuk Amanah, keluar Pas. Tidak jadi munafik keluar Pas, masuk Amanah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa lebih ramai ahli Amanah dijangka menyertai semula Pas dalam tempoh enam bulan akan datang.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya berharap Pas juga bersikap terbuka seperti Amanah dalam perkara itu.

"Kita hormat pilihan masing-masing dan kita harap Pas pun akan mempunyai sikap yang sebegitu rupa. Biar ahli yang pilih sendiri berdasarkan keyakinan masing-masing.

"Tidak perlu ikat dengan tuduhan-tuduhan khianat, langgar baiah...Biar orang pilih atas keyakinan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub mencabar Pas menamakan seorang sahaja ahli Amanah yang mahu kembali kepada Pas.

"Apa yang saya boleh yakinkan pada hari ini adalah yang nak masuk Amanah ramai...ini adalah daripada Pas. Sebab itu ada istilah harumanis. Itu yang Setiausaha Agung (Takiyuddin) perlu lihat

"Mereka (Pas) sekarang ini sedang dalam proses membuat peraturan-peraturan mengeluarkan surat-surat amaran termasuk tak boleh pergi ke ceramah Amanah, termasuklah yang minum kopi dengan kami pun akan dikenakan tindakan.

"Kami tidak mahu buang masa untuk melayan tuduhan seperti itu," katanya. - SH

TPM Mahu Usaha Dakwah Melalui Internet Diperluas

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sebelum bermulanya Mesyuarat Perundingan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Khamis.
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya penyebaran dan usaha dakwah melalui internet diperluaskan seiring penggunaan media tradisional.

Beliau berkata penyampaian dakwah melalui internet merentasi sempadan serta mampu menyasarkan segenap lapisan bangsa.

"Melalui kaedah ini, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan mengikut cita rasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam," katanya dalam kenyataan yang diedarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.

Mesyuarat lebih dua jam yang dipengerusikan beliau itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ledakan media baharu dikenal pasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat, dan peredaran maklumat dari pelbagai saluran media massa tidak berautoriti menyebabkan sesetengah isu mudah diputar belit pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita dapati sebahagian isu-isu bersifat terpencil sering kali diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan 'pembunuhan karakter' terhadap institusi agama, ketua jabatan agama, para mufti dan juga ilmuan Islam," katanya.

Ahmad Zahid berkata walaupun usaha yang diambil pihak berkuasa agama dilihat dapat mengawal arus berita palsu, namun dalam masa yang sama berita yang berunsur negatif masih tetap dihebahkan.

Ini katanya, merupakan cabaran yang perlu diambil para pendakwah untuk berdakwah bagi mengikis sikap tersebut dalam kalangan masyarakat sama ada melalui media massa, elektronik mahupun media sosial.

Ahmad Zahid turut menekankan penggunaan media baharu dalam Islam harus lebih menekankan konsep ketakwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dalam pada itu berkata isu liberalisme yang menyemarakkan penularan ajaran sesat seperti Syiah dan Qadiani perlu disekat bagi menghalang pengembangan pemikiran dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Ahmad Zahid berkata, fahaman Syiah di negara ini masih berleluasa dengan kemasukan kumpulan tertentu yang menjadikan para pelajar sebagai golongan sasar, namun menegaskan bahawa pemantauan berterusan terhadap aktiviti berkaitan penyebaran fahaman itu tetap terus dipertingkat dalam mengekang penularannya.

Kerajaan melalui Jakim juga mengambil perhatian khusus dalam menyekat pengaruh dan pengembangan ideologi Daesh yang dilihat membimbangkan dengan melaksanakan siri penjelasan bersama-sama agensi agama negeri-negeri, katanya.

"Kerajaan mengambil serius perkara ini dan segala usaha berterusan secara bersepadu antara semua agensi keselamatan negara dipertingkat bagi memastikan gerakan militan tidak bertapak di negara ini," katanya.

MPI yang dianggotai tokoh dari pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.
- Bernama