13 February 2016

Husam dirujuk Jawatankuasa Tatatertib Pas

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kerja Pas hari ini memutuskan supaya bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib parti susulan kelantangannya mengkritik parti Islam itu secara terbuka, sejak akhir tahun lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu dicapai dalam satu mesyuarat parti itu, hari ini berdasarkan aduan yang diterima oleh pejabat Agung Pas daripada beberapa pihak.

“Mesyuarat berpandangan aduan-aduan tersebut mempunyai merit dan asas serta bertaraf kes tatatertib yang boleh dipertimbangkan tindakan tatatertib sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Pas dan berdasarkan kepada prinsip asasi undang-undang iaitu Rules Against Bias dan Conflict of Interest.

“Mesyuarat memutuskan aduan-aduan tatatertib ini wajar diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib parti untuk diputuskan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkaitan serta Perlembagaan Pas,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Adun Salor itu menggesa Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin, meletak jawatan kerana didakwa gagal membawa isu hudud ke Parlimen.

Husam dilaporkan berkata, dua pemimpin Pas itu perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing sekiranya tidak dapat menjelaskan kegagalan membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Tuan Ibrahim juga memohon Jawatankuasa Tatatertib Pas melakukan prosiding displin ke atas Husam dengan kadar segara.

“Mesyuarat juga memohon kerjasama daripada Jawatankuasa Tatatertib parti supaya kes ini dipertimbang dan diputuskan dalam kadar segera bagi mengelakkan sesuatu kesan tidak baik, tohmahan yang berterusan serta merugikan parti,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata pelantikan Mursyidul Amnya, Datuk Dr Haron Din sebagai ketua kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam merupakan satu pengiktirafan kepada Pas.

“Bagi kami, itu bukan satu penghinaan, kalau kita dipanggil, itu satu penghormatan dan pengiktirafan, contoh Rayani Air mencadangkan Dr Haron Din, saya fikir satu pengiktirafan ilmu dan dia bersetuju untuk mendapat pandangan-pandangan bukan satu penghinaan dalam konteks parti.

“Ramai tokoh-tokoh Pas terlibat dalam Majlis Fatwa dan negeri-negeri. Adakah itu satu penghinaan? Di peringkat penasihat bank-bank pun ada, kena tengok dalam konteks yang lebih terbuka,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan Pas tidak akan menyertai Umno dan BN dan penglibatan pemimpin dan ahli-ahli  parti Islam itu dalam agensi kerajaan bukan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaanya.

“Nilai-nilai yang menyuruh ke arah kebaikan umat Islam dan rakyat negara ini, maka kita mendokonginya bersama, ia harus dibezakan antara kerjasama parti politik dan agensi-agensi (kerajaan)

“Kehadiran pemimpin Pas dalam program-program kerajaan untuk memberi sumbangan, pandangan dan idea perlu dilihat dalam konteks yang positif,” katanya lagi. - SH

No comments:

Post a Comment