PHOENIX (Arizona): Pengunjung Mahkamah Tinggi Maricopa tergamam
apabila seorang lelaki yang baru disabitkan kesalahan membakar rumahnya
tiba-tiba terjatuh dan mati, semalam.
Sejurus sebelum itu, juri mendapati Michael Marin bersalah atas
tuduhan khianat apabila membakar rumahnya yang bernilai AS$3.5 (RM11.1
juta).
Marin, 53, kelihatan terkejut dan memejamkan matanya
ketika hakim membacakan keputusan sebelum dia dilihat memasukkan sesuatu
ke mulutnya.
Dia kemudian menelannya dengan bantuan cecair dalam satu botol plastik.
Melalui
rakaman kamera litar tertutup mahkamah, Marin dilihat terjatuh ke
lantai beberapa minit kemudian dan menggelupur seperti terkena sawan.
Dia
disahkan mati apabila tiba di sebuah hospital tidak lama kemudian,
Apabila perbicaraan bermula Mei lalu, pendakwa berkata, Marin boleh
dihukum penjara sehingga 16 tahun jika didapati bersalah. Rumah agam
Marin musnah terbakar pada 5 Julai 2009 selepas dia gagal menjual
bangunan berkenaan dalam satu lelongan amal. Bomba mendapati kebakaran
di bangunan seluas 613 meter persegi (6,600 kaki persegi) itu
disengajakan.
Marin memberitahu pihak berkuasa, dia melarikan diri selepas membakar
rumahnya dengan menuruni tangga tali dari tingkat dua dan memakai sut
penyelam.
Tiada sesiapa cedera dalam kebakaran itu tetapi
undang-undang Arizona menganggap kesalahan membakar bangunan sama
seperti pembunuhan tahap kedua. Pendakwa berkata, Marin sengaja
membakar rumahnya kerana tidak mampu membayar hutang. Ujian toksikologi
akan dijalankan ke atas mayat Marin serta botol yang digunakannya di
mahkamah. Bapa kepada empat anak, Marin adalah graduan undang-undang
dari Sekolah Undang-undang Yale, pernah bekerja di Wall Street dan gemar
aktiviti mencabar. - mMetro
No comments:
Post a Comment