HARAPAN para saintis untuk melihat Lonesome George - seekor kura-kura
gergasi Galapagos, meninggalkan baka berakhir apabila haiwan itu
ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz, Ecuador pada 24 Jun
lalu.
Puerto Ayora terletak di selatan Taman Negara Galapagos.
Dianggarkan berusia lebih 100 tahun, kura-kura berstatus duta
Kepulauan Galapagos itu berjaya menarik lebih 180,000 pelancong untuk
mengunjungi pulau itu tahun lepas.
George dipercayai kura-kura terakhir daripada subspesies
Geochelonenigra abingdoni. Kepulauan itu masih dihuni kira-kira 20,000
ekor kura-kura gergasi daripada 13 subspesies.
"Pada waktu pagi semasa seorang renjer sedang meronda, dia menemui George mati di pusat pembiakan kura-kura gergasi.
"Kehidupan kura-kura ini telah berakhir, namun kami merancang untuk
mengawet bangkainya bagi dijadikan tatapan pelancong pada masa hadapan,"
kata ketua taman itu, Edwin Naula.
Bangkai haiwan bertaraf selebriti itu ditempatkan di dalam sebuah
kebuk sejuk bagi mengelakkannya daripada mereput. Saintis berkata,
kematian George akan melenyapkan spesies itu.
George mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Ia ditemui pada tahun
1972 di Pulau Pinta, salah sebuah pulau di Kepulauan Galapagos.
Sama seperti namanya Lonesome George, haiwan itu hidup bersendirian dan kesepian sepanjang hayatnya.
George tidak mempunyai anak. Walaupun ia cuba dibiakkan bersama dua kura-kura betina berlainan spesies, hasilnya mengecewakan.
Diburu
Pada tahun 2009, pegawai Ecuador mengumumkan seekor daripada dua
kura-kura betina yang tinggal bersama George telah menghasilkan sebanyak
lima biji telur. Malangnya kesemua telur itu gagal menetas.
George hidup bersama dengan kura-kura betina daripada jenis Geochlone becki itu sejak tahun 1993.
Populariti George bukan calang-calang bahkan berjaya menarik
perhatian ikon terkenal Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk melawat taman
negara itu.
Lokasi tempat kura-kura itu tinggal juga dikunjungi oleh ribuan pelancong setiap tahun.
Mereka mengambil peluang bergambar dengan makhluk pelik di muka bumi itu.
Bagaimanapun, sejak kedatangan manusia ke kepulauan itu, jumlah kura-kura gergasi menurun secara signifikan.
Ia sering diburu kerana dagingnya manakala habitat semula jadinya
turut dirampas oleh gerombolan kambing yang dibawa oleh penternak.
Namun, usaha penyelamatan oleh Taman Negara Galapagos dan Yayasan
Charles Darwin untuk menambah kembali populasi kura-kura itu mula
berhasil.
Secara umum, populasi kura-kura gergasi Galapagos meningkat daripada
hanya 3,000 ekor pada tahun 1974 kepada 20,000 ekor sekarang.
Selain kura-kura gergasi, Kepulauan Galapagos juga terkenal sebagai rumah kepada berbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang unik.
Keajaiban alam dan kebiasaan kura-kura Galapagos yang boleh hidup
sehingga 200 tahun telah mencetuskan idea kepada saintis Britain,
Charles Darwin untuk memperkenalkan teori evolusinya.
Ketua Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah, berkata usaha untuk
memastikan kura-kura gergasi terus hidup sememangnya agak sukar.
"Selain masalah kesihatan kerana usia yang lanjut, haiwan ini sensitif terhadap makanan yang diberikan.
"Selain itu, ia sukar menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza daripada habitat asal," katanya kepada Jurnal.
Jelasnya, pihak Zoo Negara juga mempunyai kura-kura gergasi daripada
spesies Aldabran iaitu kura-kura kedua terbesar di dunia selepas spesies
Galapagos tetapi usaha untuk membiakkan haiwan itu bukan mudah.
"Namun, itu tidak bermakna kita akan berhenti berusaha membiakkannya
sebaliknya banyak lagi penyelidikan saintifik perlu dilakukan," beritahu
beliau. - MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM - Kosmo
No comments:
Post a Comment