KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari
ini mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya
Umum (PRU13) akan datang.
Dr Mohamad Khir, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang
sejak 1999, memberitahu Bernama: "Saya mahu menumpukan kepada keluarga
saya dan berehat. Tidak ada alasan lain."
Doktor gigi itu juga berkata beliau tidak lagi mahu dicalonkan kerana
kes mahkamahnya berhubung pembelian sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam
bernilai RM3.5 juta.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Dis tahun lepas telah menjatuhi
hukuman penjara setahun ke atas beliau yang didapati bersalah, dan kes
itu kini di peringkat rayuan.
Dr Mohamad Khir menjawat jawatan sebagai Menteri Besar apabila kerajaan
negeri Barisan Nasional negeri itu tewas kepada gabungan parti PAS, DAP
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU 2008.
Beliau berkata soal calon DUN Sungai Panjang akan diserahkannya kepada Umno Bahagian Sungai Besar.
Ditanya sama ada keputusannya untuk mengundur diri dari bertanding itu
direstui oleh anggota bahagian dan juga masyarakat di kawasan yang
diwakilinya, beliau berkata perkara itu boleh diselesaikan.
"Kita boleh pujuk mereka untuk menyokong calon baharu, itu tidak jadi
masalah," kata Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar Selangor
yang termuda iaitu berusia 35 tahun pada masa dilantik memimpin negeri
itu pada 18 Ogos 2000.- Bernama
No comments:
Post a Comment