Ketua Umno Bahagian Pandan diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen
Kuala Lumpur semalam terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan
RM193,512, antara Mei 2006 dan Mac 2007.
Hakim Rozilah Salleh
membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya
membuktikan kes prima facie terhadap Abd Ghani Ismail, 46, di akhir kes
pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 13 September untuk mendengar kes pembelaan.
Bagi
pertuduhan pertama, Abd Ghani, yang ketika kejadian merupakan seorang
Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merangkap Ahli Jawatankuasa
Tender MPAJ, didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan daripada
seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak
RM24,189.
Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan
Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman
Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja
pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam 4 Ogos 2006.
Bagi
lapan lagi pertuduhan, Abd Ghani didakwa secara rasuah menerima antara
RM10,189 hingga RM24,189 yang kesemuanya melibatkan RM169,323 daripada
Abdul Rahman di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini,
antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.
Sementara itu bagi
pertuduhan ke-10 pula dia didakwa memperoleh suapan bagi dirinya iaitu
pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub kontraktor kepada Syarikat
Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai kepentingan dalam
Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1
Mei 2006.
Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah
Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal
di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.
Bagi kesemua
pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10
(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di
bawah Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum
20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan,
jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa
Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Roziza Sidek manakala Abd Ghani
diwakili Peguam Md Yunos Shariff.
- Bernama
No comments:
Post a Comment