KUALA LUMPUR 18 Jan. – Pos Malaysia melancarkan dua perkhidmatan iaitu mesin Post-Automated-Machine atau mesin automasi pos (PAM) dan Pos-on-Wheels atau pejabat pos bergerak bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, projek perintis PAM telah dilaksanakan di Pejabat Besar Pos Kuala Lumpur dan dijangka diperluaskan ke lokasi lain di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
"PAM serupa dengan mesin ATM bank tetapi yang pertama seumpamanya yang disepadukan dengan perkhidmatan pos.
"Respons daripada orang ramai amat menggalakkan dan kami merancang memasang 30 unit PAM tahun ini.
“Sasaran kami ialah menempatkan PAM di setiap pejabat pos di seluruh negara. Ia beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Perkhidmatan ditawarkan PAM termasuk pembelian setem, penghantaran surat tidak standard (sehingga 2kg), penghantaran barangan domestik melalui PosLaju (sehingga 2kg), penghantaran bungkusan domestik melalui PosParcel dan barangan PosDaftar (sehingga 2kg) dan tambah nilai bagi Akaun Deposit Kiriman Tetap (SODA).
Pelanggan juga boleh membuat bayaran bil melalui mesin itu kepada Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Syabas, Indah Water Konsortium dan Maxis, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment