18 January 2010

MyID: Inisiatif ‘1 nombor semua urusan’ dilancarkan

PUTRAJAYA 18 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan MyID, satu inisiatif yang menggunakan nombor MyKad sebagai nombor rujukan tunggal untuk warganegara Malaysia yang berurusan sebagai individu dengan agensi kerajaan.

Muhyiddin berkata, pelancaran inisiatif MyID itu sebagai usaha untuk meningkatkan prestasi sistem penyampaian perkhidmatan dan memudahkan semua pihak untuk berurusan dengan agensi kerajaan.

Katanya, inisiatif yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berpegang kepada konsep ‘1 Nombor Semua Urusan’ yang akan menjadikan semua urusan dengan agensi kerajaan menjadi lebih mudah dan cepat.

"Langkah ini akan membantu rakyat di mana sahaja mereka berada untuk tujuan apa sekalipun, mereka dapat mengakses maklumat dan sebagainya, hanya mengingatkan nombor kad pengenalan.

"Ini satu nombor untuk semua yang Perdana Menteri sebutkan, kita dah mula laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MyID dan persidangan Ketua-Ketua Agensi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini. – Bernama

No comments:

Post a Comment