18 January 2010

Siswazah sujud dapat rezeki tak disangka

JOHOR BAHRU: “Saya langsung tidak menjangka akan diumumkan sebagai pemenang kategori Individu Nilai Aset Tertinggi, sekali gus membawa pulang sebuah Proton Persona. Namun sebaik nama disebut, saya dan rakan terus melonjak gembira sambil menadah tangan tanda syukur kerana dikurniakan rezeki sebegini pada usia muda,” kata Mohammad Norshim Mohamed Hashim, 21, pemenang hadiah utama, Cabaran Catur Bestari KFC Peringkat Kebangsaan 2009/2010 di sini, semalam.

Malah, anak sulung daripada 11 beradik itu menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah berganda selepas Kumpulan UMP Gempak 1 yang disertainya turut dinobatkan sebagai johan Nilai Aset Tertinggi yang meraih ganjaran wang tunai RM50,000.

“Tahun lalu, saya pernah cuba menyertai peraduan sama, namun tewas di peringkat awal kerana masih tidak mengetahui selok belok permainan.

“Bagaimanapun, tahun ini saya nekad mengajak rakan serumah untuk menyertai cabaran ini, sekali gus memahirkan diri dengan pelbagai ilmu perniagaan,” katanya.

Empat lagi rakan dalam kumpulannya adalah Mohd Azizul Abdul Sani, 21; Abdullah Muhamad Nawi, 25; Nurizzuddin Ahmad Hussin, 22 dan Tuan Shahlan Tuan Safie, 21.

Menurut Norshim, tiada yang mustahil buat dirinya dan rakan-rakan untuk meraih gelaran juara sekiranya mengamalkan kerjasama dengan mengatur strategi sepanjang cabaran. - Mymetro

No comments:

Post a Comment