16 January 2010

Peniaga putus tangan akibat ditetak

KUALA LANGAT 15 Jan. - Seorang peniaga daging babi putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak dua lelaki yang menyerangnya di hadapan rumah mangsa di Sungai Jarum, Jenjarom di sini pagi ini.

Ketika kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an dikatakan baru tiba di pagar hadapan rumahnya selepas berpatah balik dari pasar untuk membuang air.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Suprintendan Mohamad Radzi Ishak berkata, semasa mangsa sedang membuka pagar rumah, dua lelaki bermotosikal dan bersenjatakan sebilah parang panjang tiba-tiba muncul dan menetak mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut diserang dua lelaki itu tidak sempat mengelak dan hanya menggunakan tangan kanannya untuk bertahan daripada tetakan parang suspek.

"Serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus.

"Keluarga mangsa yang berada dalam rumah hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar suara mangsa meraung kesakitan dan mereka terus meluru keluar untuk membantunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohamad Radzi, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan usaha sedang dijalankan untuk menyambung semula pergelangan tangannya yang terputus.

Dalam pada itu, kata beliau, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak mempunyai hutang dengan mana-mana individu. Motif kejadian juga masih disiasat.

Oleh kerana ketika kejadian hari masih gelap, ujarnya, mangsa tidak dapat mengecam wajah kedua-dua suspek.

Sehubungan itu, kata beliau, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan. - Utusan

No comments:

Post a Comment