16 January 2010

Elie dibebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dr. Elie Yousef Najem, lelaki Lebanon yang ditahan polis kerana memiliki wang palsu AS$66.02 juta (RM220.6 juta) pada 10 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Polis bagaimanapun sedang menunggu keputusan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung sebarang tindakan lanjut terhadap lelaki yang mengaku sebagai 'hartawan' itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, Elie, 50, dibebaskan selepas perintah tahanan reman yang dikenakan terhadapnya sejak 10 Januari lalu berakhir semalam.

"Sementara menunggu keputusan pihak DPP, dia dibebaskan dahulu.

"Pasport Elie ada dalam simpanan pihak mahkamah kerana dia kini menjalani perbicaraan bagi kes lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, polis telah menahan Elie pada 10 Januari lalu di sebuah hotel kerana memiliki wang palsu AS$66.02 juta (RM220.6 juta).

Elie menyewa bilik hotel tersebut dua hari sebelum itu kerana menghadiri perbicaraan satu kes mahkamah setelah didakwa membeli peralatan pejabat menggunakan wang palsu pada 2005.

Pada 2006, lelaki itu pernah mendakwa memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion (RM175 bilion) dan menyatakan hasratnya menderma RM1.01 bilion kepada Majlis Kanser Negara (MKN).

Dia pernah disiasat oleh polis ekoran wujudnya 'unsur-unsur mencurigakan' mengenai dirinya terutama apabila ada pihak tampil dengan lima laporan polis terhadapnya termasuk kes penipuan dan cabul. - Utusan

No comments:

Post a Comment