11 January 2010

Husam tuntut royalti minyak dari telaga bersempadan Terengganu

KOTA BHARU 11 Jan. — Kerajaan Kelantan telah kemukakan tuntutan royalti minyak yang baru melibatkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan pusat ialah RM9.7 bilion.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa tuntutan itu berdasarkan kenyataan akhbar oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaakob pada 5 Sept. 1990 bahawa Kelantan sedia berkongsi dengan Terengganu berhubung penemuan sebuah telaga minyak di sempadan kedua-dua negeri.

"Kita akan cari kaedah bagi membolehkan Petronas timbang semula kedudukan beberapa telaga yang bertindih antara Kelantan dan Terengganu. Kita telah menyampaikan pendirian dan pandangan serta tuntutan secara rasmi kepada Petronas dan terserah kepada mereka.

"Setakat ini yang kita pasti hanya satu pelantar yang terletak di sempadan kedua-dua negeri manakala terdapat dua lagi pelantar yang masih disiasat dan dikaji sama ada mereka juga beroperasi bersempadan Kelantan-Terengganu,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment