11 January 2010

Tiga penjenayah rakyat Indonesia mati ditembak

IPOH 11 Jan. – Polis menembak mati tiga lelaki rakyat Indonesia yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan samun di negeri ini, Kedah, Selangor dan Johor selepas berbalas tembak di Taman Farmasi, Seri Iskandar kira-kira 55km dari sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 petang semalam, seorang lagi anggota kumpulan itu sempat melarikan diri.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata, insiden itu bermula selepas polis menerima maklumat mengenai empat lelaki yang mencurigakan berlegar menaiki sebuah kereta di taman berkenaan.

Pasukan polis yang menaiki dua kereta peronda mengarah suspek berhenti, tetapi mereka bertindak merempuh kenderaan polis sebelum terbabas, katanya.

"Seorang daripada penjenayah terbabit keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis, manakala dua lagi bersenjatakan parang cuba menyerang polis,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis yang berada di dalam kereta yang dirempuh itu tidak cedera dan segera bertindak balas.

Tiga daripada suspek itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan usaha mengesannya masih dijalankan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment