11 January 2010

Pengamal perubatan tradisional perlu berdaftar dengan majlis

JOHOR BAHRU 11 Jan. – Semua pengamal perubatan tradisional perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang bakal dibentuk tidak lama lagi sebelum mereka boleh mengamalkan kaedah perubatan itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan rang undang-undang khusus bagi perubatan tradisional dan komplementari yang akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat tahun ini.

Di bawah undang-undang itu, mereka yang berdaftar dengan majlis itu akan diberi sijil pendaftaran sebagai bukti kelayakan sebelum boleh mengamalkan kaedah perubatan tradisional.

"Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari juga telah membangunkan e-Pengamal iaitu sistem untuk pengamal perubatan mendaftar secara talian dan setakat ini, seramai 3,000 orang telah berbuat demikian.

"Saya menyeru semua pengamal perubatan itu supaya mendaftarkan diri di e-Pengamal kerana ia merupakan data penting bagi kementerian untuk merangka strategi baru demi kebaikan semua pengamal perubatan tradisional di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Perubatan Baru Kolej Selatan di sini hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment