KABUL: Sekurang-kurangnya dua pemberontak Taliban terbunuh dan 13 yang lain cedera dalam serangan senjata dan bom berterusan yang dilancarkan kumpulan itu di ibu kota Afghanistan, hari ini.
Beberapa siri letupan menggegarkan Kabul, dengan asap tebal kelihatan di dua pusat beli belah dan pertempuran antara kumpulan pemberontak dan anggota keselamatan Afghanistan semakin sengit.
Susulan daripada perkembangan terbaru itu, polis dan unit tembak tepat tentera ditempatkan di atas bumbung bangunan.
“Ia adalah kerja kami, sasaran adalah istana presiden, kementerian kewangan, kementerian keadilan dan perlombongan serta bank pusat.
“20 pengebom nekad kami sudah memasuki kawasan dan pertempuran masih diteruskan. Seorang militan sudah menghidupkan jaket yang dipasang dengan bom di pintu masuk kompleks istana presiden,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi temubual telefon daripada lokasi yang tidak didedahkan.
Saksi berkata, kumpulan penentang memasuki pusat beli belah lima tingkat dan saling berbalas tembakan dengan anggota keselamatan di sekeliling bangunan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Zemarai Bashery berkata, dua pengebom nekad meletupkan diri sendiri dan dua lagi terbunuh dalam pertempuran di ibu kota Kabul.
Zemarai berkata, anggota keselamatan membunuh dua penyerang pengebom nekad yang berkubu di dalam bangunan.
“Kami mengesahkan empat pengebom nekad terbunuh,” katanya kepada siaran televisyen Al Jazeera, hari ini. - AFP
No comments:
Post a Comment