17 December 2008

Ugut gergaji leher bayi

SERI KEMBANGAN: Seorang ibu menempuh saat paling mengerikan dalam hidup apabila anak perempuan berusia setahun dalam dakapan dijadikan tebusan selama seminit oleh seorang penjenayah dalam usaha untuk menyamun wanita itu.

Lebih mengejutkan kanak-kanak itu nyaris disembelih penjenayah berkenaan menggunakan gergaji kayu yang dijadikan senjata dalam usaha memaksa wanita terbabit menyerahkan beg tangannya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam di rumah kakak saudaranya di Taman Sungai Besi Indah di sini, mangsa Ooi Men Kin, 34, baru pulang dari tempat kerja dan singgah untuk mengambil anak perempuannya, M Regina Kim.

Menceritakan semula detik cemas itu, Ooi yang juga isteri jurufoto kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), L Manimaran, 41, berkata dia hanya mampu menjerit dan merayu tidak dicederakan ketika penjenayah ganas terbabit meletakkan gergaji tajam itu ke leher anaknya.

“Selepas mengambil anak dari rumah kakak saudara saya kembali ke kereta dan tanpa diduga penjenayah itu muncul dan membuka pintu sebelah penumpang untuk mengambil sebuah beg berisi barang mainan yang disangka mempunyai barang berharga.

“Dia yang marah kemudian menerpa ke arah kami dua beranak sambil mengarahkan saya menyerahkan beg tangan. Saya menjerit sekuat hati meminta bantuan orang ramai dan berdoa gigi tajam gergaji itu tidak menghiris serta mencederakan anak saya,” katanya.

Bagaimanapun, jeritan wanita itu didengar anak saudaranya N Nitea, 26, yang kebetulan berada di luar rumah dan bertindak memanggil ahli keluarga lain untuk mengejar penjenayah berkenaan.

Sebelum melarikan diri penjenayah berusia 40-an itu menolak mangsa menyebabkannya hampir terjatuh.

Bagaimanapun, penjenayah itu dapat ditahan dan dibelasah orang ramai.

Ooi berkata sebelum kejadian, dia menyedari kehadiran penjenayah itu menunggang sebuah motosikal di kawasan berkenaan, tetapi kerana ingin cepat pulang ke rumah dia tidak menghiraukannya.

Menurut Manimaran, dia tidak menduga dengan kejadian yang hampir meragut nyawa anak sulungnya itu berikutan keluarga kakak saudaranya itu baru seminggu pindah ke rumah itu.

Difahamkan, penjenayah itu berasal dari Seri Kembangan dan mempunyai tujuh rekod jenayah dan dalam kejadian terbaru dia bertindak kejam apabila dikatakan cuba memotong tangan seorang pelajar sebuah universiti ketika menyamun mangsa.

*Nasib baik ditangkap orang ramai di Seri Kembangan, kalau di Meru Klang atau di Ipoh

No comments:

Post a Comment