17 December 2008

Kesal tentera dituduh pencuri

KUALA LUMPUR - "Saya kesal, pelbagai bantuan yang dihulurkan anggota Tentera Darat (TD) di Bukit Antarabangsa bagai langsung tidak dihargai, malah ada pihak yang menuduh TD mencuri pula."

Begitulah luah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal apabila diminta mengulas rungutan mangsa tanah runtuh di situ yang mendakwa petugas serta anggota mencari dan menyelamat termasuk tentera mencuri barangan peribadi penduduk di situ.

Beliau yang menegaskan bahawa dakwaan tersebut sebagai tidak berasas berkata, tuduhan itu tidak lain hanya mahu mencalarkan imej pasukan beruniform berkenaan.

"Itu hanya dakwaan, anggota TD telah dilatih dengan penuh disiplin. Kami komited dengan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Tidak timbul soal mencuri kerana banyak perkara lebih penting untuk diselesaikan di lokasi kejadian daripada memikirkan peluang untuk mencuri," katanya.

Kesal dengan dakwaan tersebut, Abdul Aziz mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang 'kurang bersyukur' dan 'tidak pandai menghargai' usaha dan bantuan TD kerana hingga kini belum ada pihak yang tampil memberi ucapan penghargaan kepada TD atas pelbagai bantuan yang diberikan.

"Anggota TD bergegas ke tempat kejadian seawal pukul 4 pagi 6 Disember lalu dan hingga ke hari ini anggota kita masih ada di sana untuk membantu.

"Sepanjang tempoh itu, belum ada ucapan terima kasih yang kami terima, sebaliknya dituduh mencuri pula," katanya selepas Majlis Penyerahan 10,000 Kalendar Pernama Tahun 2009 kepada empat unit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini semalam.

* Mereka itu orang kaya, pandai, bahasa Melayu pun sudah tidak guna...

No comments:

Post a Comment