Peragut mati dibelasah
IPOH: Tindakan seorang lelaki meragut seorang konduktor bas di perhentian bas Medan Kidd, Ahad lalu berakhir tragedi apabila dia mati selepas dibelasah sekumpulan orang awam yang menyaksikan kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, lelaki berusia 38 tahun berkenaan dikatakan menunggu di tangga bas sebelum meragut rantai leher seorang konduktor bas lelaki berusia 24 tahun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, yang mengesahkan kejadian itu, berkata dia dikejar dan ditangkap orang awam yang lalu di kawasan itu selepas melihat kejadian itu.
“Lelaki itu berjaya ditahan dan dibelasah dalam pergelutan yang berlaku dengan orang awam yang menangkapnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
Azisman berkata, unit peronda polis dihantar ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan kejadian itu.
“Sebaik tiba, anggota kami mendapati lelaki terbabit cedera parah di kepala dan terbaring atas jalan. Dia kemudian dibawa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam (kelmarin) akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Beliau berkata, konduktor bas berkenaan tidak dapat mengenal pasti siapa yang memukul dan menumbuk mangsa pada hari kejadian itu.
Sehubungan itu, Azisman meminta saksi kejadian itu untuk tampil membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes terbabit.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Selain itu, Azisman turut meminta waris terdekat atau sesiapa yang mengenali lelaki itu untuk menghubungi IPD Ipoh di talian 05-245 1500 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zain di talian 013-515 8777.
Lelaki itu dikenali sebagai Muhammad Razi Azuddin dengan alamat terakhir No 7, Lorong Anggerik 1, Pasir Panjang, 71250, Port Dickson, Negeri Sembilan.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment