25 March 2008

Istana arah Ahmad Said masuk pejabat hari ini

Ahmad mula tugas -- Istana arah masuk pejabat hari ini walaupun belum angkat sumpah



KEMAMAN 24 Mac – Walaupun menghadapi kemungkinan dipecat daripada UMNO kerana menerima pelantikan Menteri Besar yang dibuat oleh pihak istana, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said tetap akan memulakan ‘tugas rasminya’ esok.

Menurut Ahmad, istana mengarahkan beliau segera menjalankan tugas tersebut sungguhpun beliau belum mengangkat sumpah jawatan berkenaan.

Katanya, beliau akan memasuki pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 16, Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada pukul 8 pagi esok bagi mengetuai secara rasmi pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya akan tunaikan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Tidak pernah sebelum ini pelantikan Menteri Besar jadi begini.

“Walaupun jawatan ini mungkin tidak lama, tetapi berdasarkan peruntukan undang-undang tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan saya sebagai Menteri Besar,” ujarnya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Teluk Kalong, Kijal dekat sini petang ini, sekembalinya dari Kuala Lumpur.

Di ibu kota, Ahmad, 51, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu.

Kepulangan wakil rakyat Kijal itu di sini disambut oleh kira-kira 3,000 penyokongnya.

Ahmad menegaskan, beliau sanggup memikul tanggungjawab untuk memajukan negeri ini, walaupun mendapat bantahan para penyokong Datuk Seri Idris Jusoh yang memperoleh watikah pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, beliau tidak pernah meminta diberikan jawatan itu, sebaliknya “ia berlaku atas kehendak dan ketentuan Ilahi.”

Justeru kata Ahmad, tiada sebab mengapa beliau boleh dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat daripada UMNO dan dituduh menderhaka kepada parti.

“Tidak timbul soal saya derhaka sebab selama ini saya berjaya menyatu dan mengukuhkan UMNO Bahagian Kemaman sehingga bilangan ahli parti di kawasan ini termasuk Puteri mencecah lebih 40,000 orang.

“Ia adalah angka tertinggi yang dicapai berbanding UMNO bahagian lain di negara ini,’’ ujarnya.

Berikutan pencapaian itu, Ahmad meminta pucuk pimpinan parti memikirkan sebaik mungkin sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Ambillah masa sedikit untuk memutuskan (tindakan) sedemikian. Cari jalan dan punca kepada permasalahan ini.

“Untuk memecat keahlian memang mudah, tetapi pemecatan tentu mendatangkan kesan yang tidak baik kepada keutuhan parti dan kesejahteraan rakyat,'' ujarnya.

Semalam, 23 daripada 24 ADUN Barisan Nasional (BN) di Terengganu membuat pengakuan untuk menyokong Idris sebagai Menteri Besar.

Mereka berpegang kepada tafsiran perlembagaan bahawa Idris, yang menerima watikah daripada Perdana Menteri, perlu menjadi Menteri Besar kerana beliau mendapat sokongan majoriti dalam DUN.

Bagaimanapun, Ahmad meminta semua pihak memberi sokongan dan kerjasama kepadanya supaya beliau dapat menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

Beliau juga berharap semua pihak di negeri ini terus bersatu dan melupakan segala perselisihan demi memastikan kesejahteraan serta perpaduan di kalangan rakyat terus terpelihara.

“Rakyat hendaklah bersabar dan buatlah yang terbaik tanpa menimbulkan sebarang kekacauan dan kekeliruan. Bersatu penting... jangan buat kekacauan sebab ini adalah negeri kita dan tempat kita bernaung,’’ ujarnya lagi.

Ditanya mengenai pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), beliau berkata, perkara tersebut akan ditentukan kemudian.

Mengenai ketiadaan sokongan daripada ADUN BN terhadap beliau, Ahmad yakin sebahagian besar daripada mereka tetap berdiri di belakangnya.

“Saya juga akan berusaha menyatupadukan UMNO selepas mengalami sedikit kekecohan berikutan pelantikan Menteri Besar ini,” katanya.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment