25 March 2008

Idris Terima Keputusan Istana, Kerusi Kosong Exco, Sebahagian 22 Adun Dijangka Sokong Ahmad

Idris terima keputusan istana

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Idris Jusoh, menerima keputusan Istana Terengganu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar yang baru.

"Kita terimalah keputusan (istana) saya tak pergi larang pun... tak apa-apa. Ada tak kita kata nak pergi langgar keputusan... kita hormati keputusan yang dibuat oleh istana," katanya.

Pada sidang media di kediamannya di Batu Burok di sini semalam, Adun Jertih itu bagaimanapun berkata, rakyat Terengganu nampaknya tidak begitu puas hati dengan apa yang berlaku.

Ditanya apakah tindakan yang akan diambil Umno negeri kerana 22 daripada 23 Adun menyokong beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar, Idris berkata: "Kita akan mendapatkan nasihat Perdana Menteri apa tindakan yang perlu diambil."

Idris yang menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya, petang semalam, berkata beliau juga akan meneliti implikasi undang-undang sebelum membuat ulasan mengenai perkara itu.

"Saya tahu saya masih mendapat sokongan daripada 22 Adun dan saya tahu rakyat ikut bersama-sama saya. Jadi kita perlu melihat implikasi undang-undang dengan lebih mendalam sebelum saya membuat komen mengenai perkara ini.

"Saya tahu bahawa Perdana Menteri juga bersama-sama dengan saya kerana semalam saya mendapat panggilan daripadanya dan juga panggilan daripada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak)," katanya.

Ditanya sama apa senario yang berlaku ketika ini akan mengeruhkan lagi hubungan antara istana, Umno dan rakyat, Idris berkata terserah kepada pemberita untuk menilainya kerana beliau hanya memberitahu apa yang diketahuinya saja.

Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi di kediamannya, yakin beliau mendapat sokongan Adun serta tujuh daripada lapan Ketua Umno bahagian dan ahli parti komponen BN, untuk menerajui kepimpinan negeri.

Ahmad, 51, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman, berkata suasana keruh sekarang bakal menjadi jernih dalam masa beberapa hari lagi.

"Berilah tempoh dua atau tiga hari untuk saya membuktikan pelantikan saya ini ada asas dan bukannya dibuat sewenang-wenangnya oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR). Saya juga akan memastikan barisan Exco baru dapat dibentuk dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai Menteri Besar mungkin dilihat tidak mendapat 'restu', tetapi kenyataannya tidaklah sebegitu kerana ada antara 22 Adun itu merestuinya.

"Kalau tidak sudah tentu saya tidak menerima sokongan daripada pegawai tadbir negeri dan hampir semua Umno bahagian di negeri ini," katanya.

http://www.bharian.com.my

Ahmad mulakan tugas MB

Wakil Kijal, Datuk Ahmad Said, akan memulakan khidmatnya esok sebagai menteri besar baru Terengganu, katanya dalam ucapan petang ini selepas menghadap DYMM Yang di-Pertuan Agong tengah hari tadi.
more --> http://malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment