TELUK GUANTANAMO(Cuba) 7 Feb. - Dikurung sendirian hampir 24 jam di bilik menyebabkan bekas pemandu Osama bin Laden menghadapi tekanan mental yang teruk dan tidak boleh memberi tumpuan kepada perbicaraan jenayah perang yang dihadapinya.
Peguam kepada Salim Ahmed Hamdan telah mengemukakan usul sebelum praperbicaraan supaya tribunal tentera yang dijadual bersidang hari ini ditangguh sehingga keadaannya pulih.
“Saya tidak percaya Salim Ahmed dapat membantu dalam pembelaan jika keadaan kesihatannya tidak bertambah baik,” tulis salah seorang peguam bela awamnya, Andrea Prasow.
Rakyat Yemen itu telah dikurung oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo sejak Mei 2002.
Dia berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika tribunal mensabitkan bekas pemandu Osama itu dengan kesalahan melakukan konspirasi dan menyokong keganasan.
Peguamnya berkata, Salim Ahmed telah ditahan “dalam pengasingan” tanpa mendapat udara segar selama 23 jam sehari untuk tempoh berbulan-bulan.
Jurucakap pusat tahanan di Guantanamo, Komander Rick Haupt semalam berkata, beliau tidak boleh mengulas dakwaan tersebut tetapi mendakwa, semua tahunan dibenarkan melakukan riadah dua jam setiap hari.
Salim Ahmed telah ditahan di Kem 5 yang merupakan penjara keselamatan tetringgi dengan bilik tahanannya tidak mempunyai tingkap.
Semasa kunjungan sekumpulan wartawan minggu ini ke Kem 5, sebahagian tahanan menjerit-jerit dan menghentak kepala di dinding.
Menurut Prasow, Salim Ahmed menunjukkan tanda-tanda gangguan kesihatan mental yang teruk seperti putus harapan, daya ingatan yang lemah dan emas selepas dikenakan tahanan pengasingan.
Emily Keram, pakar psikologi pembelaan yang memeriksa kesihatan mental Salim Ahmed memberitahu, dia menunjukkan tanda mengalami gangguan tekanan pasca trauma yang boleh membawa kepada risiko “tindakan dan fikiran membunuh diri.”
– AP
No comments:
Post a Comment