08 February 2008

Nokhtah lara Noraniza

<--KATA Noraniza, dia membuat keputusan untuk memakai tudung kerana Allah dan selepas mendapat restu daripada suami.


SELAMA setahun sepuluh bulan, hidup Noraniza Idris tidak pernah lekang tanpa ditemani air mata.

Semua itu tidak pernah diceritakannya kepada sesiapa kerana Noraniza enggan orang lain beranggapan dia cuba meraih simpati atas nasib yang menimpanya selepas rumah tangga yang dibina bersama bekas suaminya, Fareez selama 18 tahun hancur.

Namun, hujung minggu lalu, hati yang terluka sudah diubati. Lara Noraniza tidak lagi berpanjangan. Bahkan dia tidak perlu lagi bimbang dan risau dengan umpat keji masyarakat.

Hari ini, Noraniza memiliki semula kekuatan diri. Sebagai wanita, kehidupan di samping lelaki bergelar suami sangat penting bagi memastikan tidak ada orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Dia kembali menggenggam gelaran seorang isteri bersama suami barunya yang dinikahi hujung minggu lalu.

Semua itu dedah Noraniza berlaku di luar perancangannya. Dia bertemu dengan lelaki yang ikhlas menyuntingnya sebagai isteri tiga bulan lalu.

Menjalin ikatan

Sempat berpacaran untuk tempoh yang singkat, Noraniza dan suaminya yang juga seorang usahawan berjaya di sebuah negeri di utara tanah air tidak menunggu lama untuk menjalin ikatan yang sah.

“Saya yakin dengan kejujuran dan keikhlasannya. Itu sebab saya buat keputusan untuk berkahwin dengan abang (panggilan manja buat suami),” kata Noraniza tanpa berselindung pada satu pertemuan dengan Mega yang diatur lewat malam Selasa lalu di sebuah hotel lima bintang di Putrajaya.

Ditemani suaminya, seorang ahli perniagaan berusia awal 50-an, pertemuan itu berlangsung cukup santai.

Seakan memahami soalan yang bakal diajukan, pasangan pengantin baru itu menjawab setiap pertanyaan.

Noraniza yang bakal menginjak usia 40 tahun pada 27 Ogos depan mengharapkan masyarakat tidak mudah membuat sebarang andaian hanya kerana dia berkahwin secara rahsia.

“Saya merancang untuk membuat pengumuman perkahwinan saya sekitar bulan Mei depan. Bagaimanapun, media lebih awal menghidunya dan saya tidak mampu untuk berselindung selain daripada mengesahkannya,” jelas penyanyi lagu Awallah Dondang yang tergamam ketika dihubungi ketika meminta pengesahan mengenai berita perkahwinannya selain daripada memohon pertemuan diatur untuk tujuan temu bual.

Nyata, Noraniza sangat realistik. Dia tidak melatah jauh sekali melenting bila diminta pertanyaan itu diajukan kepadanya.

“Setidak-tidaknya segala tanda tanya orang ramai mengenai gosip dan dakwaan-dakwaan terhadap saya selama ini terjawab.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana segala-galanya berjalan dengan selamat,” ujar Noraniza yang kini muncul dengan imej bertudung.

Belum bersedia

Sayang sekali pada pertemuan itu, Noraniza belum bersedia untuk membenarkan Mega merakamkan foto terbarunya.

“Lain kali sajalah ya,” pintanya penuh hemah.

Noraniza yang dikenali ramai sebagai pejuang lagu-lagu irama tradisional sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal Fareez pada 31 Mac 1988 dan disahkan bercerai pada bulan Mei 2006.

Hasil daripada perkahwinan itu, Noraniza dikurniakan dua orang anak Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal 15.

Namun begitu, tidakkah tempoh tiga bulan terlalu singkat untuk dia membuat keputusan menamatkan zaman solonya?

“Seperti yang saya katakan, hati saya terbuka untuk menerima abang sebagai suami kerana yakin dengan kejujuran dan keikhlasannya.

“Lebih penting juga dia dapat menerima kehadiran kedua-dua anak saya,” katanya sambil merenung ke arah suaminya.

Bagi suami Noraniza pula, biarpun itu merupakan pertemuan pertamanya dengan media, namun beliau tidak lokek untuk berkongsi cerita.

Kata usahawan itu, dia membuat keputusan untuk bernikah dengan penyanyi popular negara itu atas dasar kasih dan sayang yang mendalam terhadap Noraniza.

“Saya tahu apabila berkahwin dengan Ani (panggilan manja buat Noraniza) saya juga harus berkahwin dengan kerjayanya serta keluarga khususnya anak-anaknya.

“Insya-Allah, saya akan menjaga Ani sebaik mungkin. Doakan kami bahagia sehingga ke akhir hayat,” pinta lelaki berkumis nipis itu mengakhiri perbualan.

- Utusan

No comments:

Post a Comment