09 September 2015

Muhyiddin selamat, tiada pemecatan dalam mesyuarat MT Umno

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung hari ini menyaksikan tiada keputusan pemecatan dibuat, sekali gus menafikan spekulasi awal mengatakan timbalan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Umno lain bakal disingkirkan kerana tidak sehaluan dengan presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat berlangsung lebih 2 jam dan berakhir 6.30 petang tadi berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan walaupun pada awalnya dijangkakan bakal panas.

"Tiada pemecatan," kata Datuk Abdul Rahman Dahlan, salah seorang ahli MT semasa ditemui wartawan selepas selesai mesyuarat hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir dilihat meninggalkan bangunan ibu pejabat Umno itu sejurus mesyuarat berakhir.

Sebelum ini tersebar di media sosial kononnya Muhyiddn, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Mukhriz bakal dipecat pada mesyuarat hari ini.

Kira-kira 100 penyokong sabar menanti dan bersorak sebaik saja mereka keluar dari pintu utama Menara Dato Onn.

Mesyuarat MT hari ini juga kali pertama diadakan selepas tertangguh 2 kali sejak penyingkiran Muhyiddin dan Shafie daripada Kabinet pada akhir Julai lalu kerana kelantangan mereka mengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas dipecat, Muhyiddin dan Shafie meneruskan kritikan ketika hadir merasmikan mesyuarat bahagian parti berhubung isu 1MDB dan turut mempersoalkan mengenai isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Terdahulu, kira-kira 100 penyokong Umno yang datang dari Johor, Sabah dan Kedah hadir ke PWTC untuk menanti keputusan mesyuarat hari ini.

Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata, tidak ada agenda mengenai pemecatan dibincangkan hari ini dan menyifatkan mesyuarat tersebut berjalan dengan baik.

Beliau juga memuji kehadiran Muhyiddin, menyifatkan ia menunjukkan semangat kesetiakawanan beliau yang masih setia bersama Umno.

"MT berjalan sangat baik dan perbincangan dibuat atas semangat kesetiakawanan.

"Saya alu-alukan Muhyiddin yang menyatakan kesetiaan kepada Umno dan akan terus bantu. Begitu juga Shafie," katanya.

Beliau berkata, isu penting lain seperti 1MDB turut dibincang dan meminta tempoh 6 bulan bagi menyelesaikan kemelut membabitkan syarikat sarat hutang itu.

Dalam mesyuarat sama, Najib juga mengumumkan keputusan MT mengadakan perhimpunan agung parti pada 8 hingga 12 Disember ini.

Katanya, mesyuarat hari ini juga lebih tertumpu kepada usaha meneruskan agenda parti membela rakyat. – 9 September, 2015. - TMI

No comments:

Post a Comment