PUTRAJAYA – Seorang guru sekolah menengah terpaksa menyambut Aidilfitri
dalam penjara selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhirnya atas
sabitan dan hukuman penjara 10 tahun kerana merogol pelajarnya yang
berusia 15 tahun.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel
tiga anggota mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua
sebatan ke atas Sallehhuddin Mohd Kassim, 34, yang dijatuhi Mahkamah
Tinggi di Johor, kerana merogol pelajar itu.
“Selepas menimbangkan hujahan dan keterangan kes, kami berpendapat
tiada sebab bagi mahkamah ini untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.
Rayuan perayu ditolak,” kata Hakim Md Raus yang bersidang bersama-sama
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim.
Bagaimanapun, dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Md Raus
membenarkan rayuan guru itu untuk mengetepikan hukuman penjara 10 tahun
yang dijatuhi Mahkamah Tinggi itu bagi pertuduhan pertama iaitu merogol
pelajar sama, yang ketika kejadian berumur 14 tahun.
Mahkamah Tinggi itu menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10
tahun dan dua sebatan terhadap guru itu selepas didapati bersalah
terhadap dua pertuduhan merogol pelajar perempuan itu dan hukuman itu
berjalan berasingan.
Sallehhuddin didakwa merogol remaja itu di rumahnya (Sallehhuddin) di Muar, Johor, pada 4 Mei 2011, pukul 12.30 tengah hari.
Mengikut keterangan pelajar itu semasa perbicaraan kes tersebut, dia
mengaku Sallehhuddin adalah “kekasih gelapnya” dan jika di luar sekolah
guru itu hanya membahasakan dirinya “I dan You” sahaja.
Hakim Md Raus bertanya kepada peguam Andrew Lourdes yang mewakili
guru itu, adakah pihak pembelaan mencabar keterangan itu dengan menyoal
balas mangsa, Andrew menjawab “tidak, tetapi guru itu menafikan dia
adalah kekasih gelap mangsa semasa memberi keterangan dalam
pembelaannya.”
Keterangan juga menunjukkan pada hari kejadian guru itu yang sudah
berkahwin dan mempunyai dua anak sedang cuti sakit manakala mangsa tidak
hadir ke sekolah.
Mengikut fakta kes, guru itu telah menghantar pesanan di telefon
mangsa dan memintanya supaya ponteng sekolah dan guru itu telah
mengambil mangsa dan membawanya ke rumahnya dan dia telah dirogol di
sebuah bilik di rumah itu.
Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian rogol itu kepada kawan
baiknya dan dia membuat laporan polis selepas peristiwa itu diketahui
oleh ibunya.
Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi mewakili pihak pendakwaan. - Bernama
TENGOK MAMAKTHIR-- PANDAI MAKAN, PANDAI SIMPAN. TENGOK NAJIB --PANDAI MAKAN, TAK BASUH TANGAN. TENGOK ROSMAH;; I jage badan, dah tak makan-makan lagi, posa, kumpul duit. Lepas ni i nak beli sepatu ada berlian lagi..aauuuww!
ReplyDelete