04 July 2015

Putera William naik penerbangan tambang murah

LONDON 3 Julai – Penumpang syarikat penerbangan pesawat tambang murah, Ryanair terkejut apabila mendapati waris takhta diraja Britain, Putera William menaiki pesawat yang sama dari Stanstead ke Glasgow, baru-baru ini.

Menurut Daily Mail, syarikat penerbangan Ryanair berasa bangga apabila putera itu memilih menaiki pesawat mereka.

Putera William, 33, ketika itu mahu ke Scotland dari rumahnya di Norfolk untuk menjalani latihan penerbangan bersama East Anglian Air Ambulance.

Memakai cermin mata, baju tentera laut dan seluar pudar, beliau hanya ditemani seorang pengawal peribadi sahaja.

Beberapa hari sebelumnya, Putera William dilapor menaiki helikopter dari Highgrove ke Windsor bagi menghadiri acara ulang tahun ke-800 Magna Carta iaitu satu dokumen yang paling terkenal dalam sejarah.

Beliau pada April lalu, mengambil cuti tanpa gaji selepas tamat fasa pertama latihan bersama East Anglian Air Ambulance untuk meluangkan masa bersama anak keduanya yang baru lahir, Puteri Charlotte Elizabeth Diana.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai juruterbang pasukan pencari dan penyelamat Tentera Udara Diraja Britain.

No comments:

Post a Comment