11 July 2015

Majlis Syura Ulama restu PAS, DAP bercerai

PAS mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulamanya (MSU) untuk memutuskan hubungan dengan DAP - sambil kekal meneruskan keadaan sedia ada dengan PKR.

Setiausaha MSU Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata majlis itu mengadakan perbincangan mengenai isu itu semalam.

Katanya, keputusan diambil MSU akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kenyataan dikeluarkan melalui Nik Muhammad Zawawi, MSU mendakwa kesal dengan tindakan "provokasi berterusan" yang dibuat DAP sehingga melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat.

Namun yang lebih menarik, MSU mendakwa keputusan memutuskan hubungan dengan DAP itu dibuat kerana parti berkenaan "campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS".

"Oleh itu, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR," katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menjelaskan bagaimana DAP campur tangan dalam isu aqidah seperti disebutkan PAS.

Berikut adalah kenyataan penuh dikeluarkan MSU:
Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Oleh kerana itu, PAS konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siasi bersama parti politik dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bukan Islam.

Dalam masa yang sama Pas tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak.

Namun Majlis Syura Ulama kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS. Oleh itu, Majlis Syura Ulamak memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
Setiausaha Majlis Syura Ulama,
24 Ramadhan 1436 / 10 Julai 2015

- Mkini

No comments:

Post a Comment