11 July 2015

Matlamat parti Islam baharu lebih besar daripada hudud, kata Mujahid

Parti politik baharu yang sedang dipertimbangkan untuk ditubuhkan sekumpulan pemimpin progresif PAS yang "disingkirkan" akan membuat pendirian Islam lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Islam mengajar umatnya mengekalkan keamanan, dan bukannya memaksa pelaksanaan undang-undang.

"Inilah sebabnya bekas Muryidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menangguhkan hudud. Beliau faham sangat. Beliau tahu isunya belum selesai.

"Apakah hudud segala-galanya? Ia hanya undang-undang jenayah," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual di pejabatnya di Parit Buntar.

Ketika ditanya mengenai pendirian parti baharu itu mengenai hudud, beliau berkata, terdapat perkara lebih besar dalam Islam selain hudud, seperti mewujudkan kehidupan lebih baik dan selesa untuk rakyat.

"Untuk melakukannya bukan dengan memperkenalkan undang-undang jenayah Islam untuk membendung jenayah. Anda berjuang umpamanya untuk gaji minimum dan mengurangkan kadar jenayah.

"Semua itu perlu dijadikan sebahagian daripada agenda. Itu pendirian kami apabila berbicara mengenai hudud... sebab itu mereka anggap saya sebagai anti-hudud," katanya.

Mujahid, yang juga salah seorang pemimpin PAS paling dikenali dan terlibat dalam usaha antara agama yang menggalakkan perpaduan serta keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam berkata, isu hudud perlu dilihat dalam kerangka undang-undang negara.

"Anda perlu mengimbangi antara rangka kerja perundangan dan hudud sebagai keperluan dalam kanun jenayah syariah. Untuk melaksanakan hudud, anda mesti lihat rangka kerja undang-undang. Untuk berbuat demikian anda perlu melalui proses demokratik.

"Bercakap mengenai proses, anda perlu tahu apa kuasa dan bidang kuasa yang ada. Negeri mempunyai kuasa tetapi ia terhad kepada Akta Mahkamah Syariah, yang menyatakan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah negeri ialah penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan," katanya.

"Melihat kepada perkara ini, kita perlu berlaku sangat praktikal dalam mengendalikannya. Kita perlu melalui proses demokrasi dan menerima keputusannya, sama ada ia (hudud) boleh dilaksanakan atau tidak.

"Bagi 'Gerakan Harapan Baharu', kami melihat hudud dalam konteks itu. Bukan hanya retorik, perkara yang emosi atau sensasi," kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Dalam rang undang-undang hudud untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II, antara hukuman yang dinyatakan adalah pemotongan anggota badan dan merejam sampai mati.

Bagaimanapun, baru-baru ini dilaporkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah tidak termasuk semua hukuman itu.

Isu hudud adalah punca yang membawa kepada keruntuhan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Pada Mac, kerajaan PAS di Kelantan membentang dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri dan menimbulkan kemarahan DAP yang sentiasa menentang pelaksanaan hudud.

Selepas saling mengkritik, PAS ketika muktamar tahunannya “menyingkirkan” pemimpin progresif yang mesra PR, menggantikannya dengan kumpulan konservatif, sebelum memutuskan hubungan dengan DAP, yang seterusnya mengisytiharkan gabungan PR terkubur.

Ketika kumpulan progresif menuju ke arah cita-cita parti baharu mereka, Mujahid berkata perlembagaan parti baharu ini dengan jelas akan menentukan asas dan dasar Islamnya.

Mereka juga akan menghormati Perlembagaan Persekutuan, identiti kaum dan pelbagai budaya serta kepentingan bersama rakyat.

Beliau berkata, walaupun parti itu akan menggunakan Islam sebagai panduan ke arah pembangunan negara, ia akan menjadi lebih inklusif, seperti ditetapkan Islam.

"Kami mahu menunjukkan Islam yang berbeza daripada PAS. Isunya sekarang ialah orang melihat PAS dan berasa parti itu tidak lagi mempromosikan aspirasi Islam," katanya. - TMI

1 comment:

  1. Baguslah tapi perlu terima juga yang Pakatan Rakyat menjadi Pakatan ber-4 apabila tertubuhanya parti baru kelak. Terang-terang PKR dan DAP setuju untuk membawa masuk parti baru dlm PR. Pas setuju atau tidak terpaksa menerima idea tersebut kecuali PAS keluar dari pakatan tersebut.
    Pas paling akan terkesan jika kekal bersama kerana Parti Baru akan menuntut hak di kawasan DUN dan Parlimen yg mereka menangi sebagai menegkalkan status Quo.

    Selangor juga akan berubah kerana Parti Baru akan mengambil 1/3 hak Pas dlm kerajaan Negeri ( 1 exco dan jawatan dlm GLC ) Ini berlaku jika 2 adun yg di BARUA dan digantung menyertai Parti Baru.

    Pas keluar PR dan sendiri lg parah, pasti sekadar sedikit utuh di Pantai Timur sahaja kerana pola politik pantai barat berbeza. Jika sertai UMNO pasti grass-root Pas tak akan dapat terima kecuali kabilah Walaun sahaja lah. Pantai Timur juga tiada jaminan dan lihat Terengganu dapat sepenggal sahaja kerana Hadi tidak wujud di hati rakyat Terengganu seperti Arwah Tuan Guru di hati rakyat Kelantan, maka Terengganu kekallah jika ceramah di Rusila berkilometer kena jalan kaki kerana ramai datang tp bila PRU tetap BUNGKUS juga.
    Jadi diseur seluruh warga PAS yg berjawatan di Pulau Pinang diarah letak jawatan seandainya Muktamar/Dewan Ulama/ MSU lebih mulia dari DUIT. Berambus lah dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai bukti masih bermaruah dan bertelur.

    Teruskan lah maju jaya pd Barisan Kepimpinan Cai yg ada antaranya suka MENJEBON, MEMBARUA dan MENTOLOL kan orang lain.

    Harapan Baru

    ReplyDelete