04 July 2015

Berapa banyak cukai Najib, 1MDB, Jho Low bayar, soal Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan sekiranya Lembaga Hasil Dalam Negeri menyiasat cukai yang dibayar individu berprofil tinggi tertentu, termasuk perdana menteri, eksekutif di 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan ahli perniagaan Low Taek Jho.
Dalam posting terbaru di blog popularnya chedet.cc, bekas perdana menteri itu berkata, kebelakangan ini, wujud elemen selektiviti dalam tumpuan "orang lembaga cukai."

Katanya, manakala eksekutif dalam syarikat pelaburan strategik negara 1MDB dibayar gaji yang tinggi, Datuk Seri Najib Razak tidak dibayar apa-apa sebagai penasihat kepada 1MDB.

Tetapi menegaskan, kerajaan membayar elaun, termasuk bagi bil utiliti dan pengangkutan, kepada perdana menteri.

Beliau berkata dengan cara ini, semua gaji perdana menteri, walaupun lebih rendah daripada eksekutif perniagaan, boleh jadi disimpan dan dibelanjakan.

"Tetapi, gaya hidup mewah mesti besar belanjanya. Ia tentunya lebih daripada apa yang saya simpan selepas 29 tahun dalam kerajaan.

"Memanglah, ia rahsia. Tetapi saya ingin bertanya, adakah orang lembaga cukai menyiasat sumber wang dan cukai yang dibayar?" soalnya.

Beliau berkata, setiap orang yang perlu disiasat mesti disiasat dan menurutnya, di Malaysia, Raja-Raja pun tertakluk kepada undang-undang tertentu.

"Kita mesti sama rata di sisi undang-undang dan kita perlu dilihat sama rata. Setiap orang yang perlu disiasat oleh agensi kerajaan perlu disiasat.

"Tidak boleh ada diskriminasi," katanya.

Dr Mahathir berkata, Low juga membeli rumah pangsa mewah di New York dan Hollywood, dan mempersoalkan dari mana beliau dapat wang beratus juta untuk membeli hartanah itu.

"Adakah dia membayar cukainya?

"Dia juga membeli sebuah bank pada harga AS$260 juta. Dari mana dia dapat wang itu? Adakah ia dipinjam? Adakah dia jual bank itu dan bayar cukai atas keuntungan yang diperolehi?" soalnya.

Posting Dr Mahathir dibuat beberapa jam selepas timbul dakwaan oleh akhbar perniagaan Wall Street Journal (WSJ) yang berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Perkara sama turut dilaporkan Sarawak Report, yang dikatakan dapatan dari siasatan ke atas 1MDB yang dijalankan kerajaan.

Dr Mahathir juga mempersoalkan perbelanjaan anak tiri Najib, Riza Aziz yang dilaporkan membelanjakan ratusan juta dolar membeli kediaman mewah di London, New York dan Hollywood.

Katanya, Riza juga membelanjakan berjuta-juta membiayai filem Hollywood "The Wolf of Wall Street".

Dr Mahathir berkata, apabila Jabatan Perdana Menteri berkata kekayaan Najib itu diwarisi dari keluarganya, ia dibantah adik-adik Najib.

Katanya, Tun Abdul Razak bukan seorang yang kaya dan tidak meninggalkan ratusan juta ringgit untuk keluarganya.

"Jadi, dari mana datangnya wang itu?" soal Dr Mahathir.

Katanya, ia kemudian didakwa diperolehi dari perniagaan.

"Jika dia buat begitu banyak duit dari perniagaan, tentu dia bayar cukai pendapatan. Adakah orang lembaga cukai datang menyiasatnya berhubung keuntungan perniagaannya?

"Berapa banyak cukai dia bayar? Memanglah ia rahsia. Tetapi saya harap ia bukan hendak melindungi sesuatu," tulis Dr Mahathir.

1MDB kini menjadi subjek inkuiri beberapa pihak berkuasa, termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dikritik teruk beberapa bulan kebelakangan ini kerana beberapa isu, termasuk 1MDB yang mengumpulkan hutang RM42 bilion selepas hanya enam tahun beroperasi. - TMI

No comments:

Post a Comment