12 July 2015

Bantuan mangsa banjir Kelantan DAP berjaya walau hubungan dengan PAS putus

Perpecahan Pakatan Rakyat (PR) tidak menghalang Gabungan Impian Kelantan yang digerakkan DAP dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) mesra PAS menyiapkan rumah bagi mangsa banjir di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang menjelang Ramadan baru-baru ini.
Walaupun secara rasminya DAP sudah tidak mempunyai hubungan dengan PAS selepas muktamar bulan lalu yang menyaksikan semua pemimpin progresif tersingkir, penduduk di kampung tersebut dapat menyambut Aidilfitri dengan rumah baharu.

45 rumah mangsa banjir yang disasarkan untuk dibina dan dibaiki sebelum Ramadan berjaya disiapkan tepat pada masanya dengan peruntukan RM350,000 diperoleh daripada sumbangan orang ramai.

Selepas banjir besar melanda negeri Pantai Timur itu akhir tahun lalu, Gabungan Impian Kelantan yang dipengerusikan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa memulakan tabung bantuan mangsa banjir dan berjaya mengumpulkan lebih RM900,000.

“Selepas habis beri bantuan makanan kepada mangsa banjir, duit lebih banyak lagi jadi kita fikir untuk mula buat rumah,” kata Penyelaras Impian Kelantan Young Syefura Othman dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider, baru-baru ini.

Gabungan Impian Kelantan yang dilancarkan Februari lalu terdiri daripada beberapa kumpulan seperti Impian Kelantan, Yayasan Darul Hijrah, Royalti, Cakna UT, Badan Bertindak NGO HUSM, KB Care, Kuala Krai Care, Sukarelawan Kebajikan Pasir Putih, Persatuan Perubatan Ibnu Sina, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Yayasan Amal Malaysia (Kelantan) dan Yayasan Pembangunan Ummah.

Pecahkan momok anti Melayu

Syefura berkata, bantuan diberikan DAP melalui Impian Kelantan bukan bermaksud ini persediaan mereka untuk bertanding di negeri Pantai Timur itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita hendak tunjuk kepada rakyat Kelantan yang DAP ni bukan anti Melayu dan kita juga mempunyai sifat kemanusiaan,” katanya.

Katanya, walaupun sebelum ini DAP sering kali dimomokkan sebagai parti yang anti Melayu dan Islam, kerjasama diberikan penduduk setempat untuk Impian Kelantan amat mengejutkan.

“Mula dari Februari kita masuk kampung sampai sekarang, sampai siap projek tidak ada satu masalah langsung.

“Ketua kampung bekerjasama dengan kita, memang mereka mengalu-alukan NGO luar untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata, guru besar Sekolah Kebangsaan Pasir Tumboh turut memberikan kerjasama baik dan memberikan Impian Kelantan menggunakan kemudahan sekolah.

“Guru besar dia sangat baik. Saya sangat berterima kasih dengan dia,” katanya.

Selain NGO, Impian Kelantan turut bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd yang turut memberikan sumbangan sebanyak RM90,000.

Sambutan kerajaan negeri dingin

Bagaimanapun, semasa Majlis Penyerahan Rumah Kampung Pasir Tumboh selepas muktamar PAS pada 13 Jun lalu, tiada seorang pun wakil kerajaan negeri yang hadir, kata Syefura.

“Kita hantar jemputan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, timbalan menteri besar dan exco, tapi seorang pun tak datang,” katanya. – The Malaysian Insider

3 comments:

  1. Jangan kecewa dengan sikap mereka,islam tidak mengajar uamatnay bertindak begitu tetapi sikap mereka yang merasakan diri mereka lebih mulia dari bangsa lain .dan kemungkinan juga mereka tidak bolih membaca kad jemputan yang tertulis dalam bahasa monggolia.buka bahasa melayu,cina atauy india .kesian mereka.

    ReplyDelete
  2. kan 'mereka-mereka' kuat! mereka-mereka itu tak memerlukan bantuan sesiapa maka biarkanlah mereka-mereka itu 'hanyut' dengan lamunan itu.biarkanlah mereka-mereka itu terjun dengan sarban dan jubah-jubah mereka-mereka itu.kononya mereka-mereka itu pewaris para nabi.biarkan,biarkan! Laa tahzan!!!!!!

    ReplyDelete
  3. Sejak akhir2 ini apa yang PAS berjaya buat adalah;
    menjatuhkan martabat umat Islam.
    Tolong lah jangan memalukan Islam wahai PAS. Islam itu suci dan murni. Bukan macam kamu wahai PAS.

    ReplyDelete