SHAH ALAM – “Rancangan ini perlu dibatalkan sekarang juga!” demikian
reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung
kontroversi terbaharu berhubung pembelian tanah 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau membidas tindakan TH yang menggunakan caruman orang awam untuk
membeli tanah yang hanya 1.5 ekar Tun Razak Exchange (TRX) tapi membayar
pada kadar hampir dengan harga 70 ekar tanah yang dibeli 1MDB sebelum
ini.
“Wang tabung haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya
diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh
Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji.
“Amatlah menyedihkan apabila wang ini diguna untuk ‘bail out’
(pemulihan) hutang 1MDB. Tanah TRX seluas 70 ekar dibeli oleh 1MDB
dengan harga RM194.1 juta untuk 70 ekar.
“Sekarang TH membeli satu 1.5 ekar dengan harga RM188.5 juta, hampir
sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar. Untung besarlah 1MDB. Sebenarnya
tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan Bumiputera. Tetapi
1MDB telah mengetepikan projek ini,” katanya melalui catatan terbaharu
di blognya Chedet.com, hari ini.
Semalam, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif
TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli
sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di TTRX milik 1MDB bagi pembangunan
sebuah menara kediaman namun menafikan pembelian Signature Tower
melibatkan kos RM 578 juta.
Dalam tulisan sama, Tun Mahathir mengingatkan Tabung Haji bahawa wang
yang disimpan orang ramai dengan harapan ia diurus dengan baik tetapi
malangnya ia digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.
“Tiada ada negara yang begitu berjaya mengumpul wang dari orang Islam
yang berhajat untuk mengerjakan haji dari Malaysia dengan tabung
hajinya. Wang yang ditabung sejak ditubuhkan Tabung Haji sudah meningkat
sehingga ribuan juta Ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan
dapat membantu pengurusan tabung haji dan subsidi kepada bakal haji.
“Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan
kepadanya? Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji
diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan
1MDB yang telah hilangkan berbilion Ringgit.
“Rancangan ini perlu dibatalkan sekarang juga,” tegasnya.
Beliau juga sempat memberi amaran kepada Penasihat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim agar
menyiasat dan melaporkan gejala-gejala rasuah yang berlaku serta
buktikan beliau turut melesapkan duit kerajaan sepanjang pemerintahannya
sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
“Tunku Aziz berkata dia sedia menyiasat Jho Low (ahli perniagaan) dan
Riza Aziz (anak tiri Najib) jika saya buat laporan. Sebenarnya laporan
telah dibuat oleh pihak lain tetapi tidak ada siasatan yang dibuat oleh
sesiapa. Sebaliknya pihak yang melaporkan diisytiharkan muflis dan
rumahnya telah digeledah.
“Jika Tunku Aziz begitu prihatin terhadap gejala rasuah, siasatlah dan
laporlah kes-kes berkenaan. Buktikan juga yang saya lesap duit
kerajaan!! Jika tidak dapat diam sajalah,” tegasnya.
Sebelum ini, Tunku Aziz mengkritik skandal kewangan yang berlaku dalam tempoh 20 tahun Tun Mahathir berkhidmat. - SH
No comments:
Post a Comment