07 May 2015

Penganalisis: Isu GST beri kesan besar di Rompin

SHAH ALAM -  Penganalisis politik berpandangan bahawa penurunan undi majoriti BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin antaranya disebabkan oleh isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, berlakunya undi protes dikalangan pengundi disebabkan mereka ‘terhimpit’ dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan mulai 1 April itu.


“Tiada perubahan besar kejatuhan undi Pas berbanding BN, ini menunjukkan ada ‘swing’ sedikit khususnya dalam kalangan pengundi muda menyokong Pas disebabkan faktor calon Pas yang muda.

“Selain itu, ia juga bersangkut paut kepada undi protes dikalangan pengundi terhadap dasar negara khususnya berkenaan isu GST dan FGV,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu GST sememangnya telah memberi kesan besar kepada BN di pilihan raya tersebut.

“Isu GST sangat memberi kesan kepada pengundi,”jelasnya.

PRK Rompin menyaksikan calon daripada BN Datuk Hasan Arifin menang dengan 23,796 undi menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad yang menerima 14,901 undi.

Hasan menang dengan majoriti 8,895 undi, menurun berbanding majoriti yang diterima BN pada pilihan raya umum lalu. - SH

No comments:

Post a Comment