01 May 2015

7 ahli kongsi gelap didakwa

KLANG 30 April - Perbuatan ganas sekumpulan tujuh lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap dalam kejadian kebakaran dan pembunuhan seorang pengawal keselamatan di Bandar Bukit Raja, dua minggu lalu membawa padah apabila kesemua mereka hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh-tertuduh iaitu M. Yugaraj, 23; B. Saravanan, 33; N. Mageswaran, 25; N. Yogeswaran, 22; U. Kunalan, 22; C. Reshiwaran, 22; dan E. Sasikumar, 26, kini berdepan dengan hukuman di tali gantung setelah mereka didakwa atas tuduhan membunuh Muhammad Ridzhuan Che Bai, 26.

Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh tertuduh didakwa te­lah berkumpul secara haram dan membunuh pengawal keselamatan tersebut di 11-Avenue, Bandar Bukit Raja, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 18 April lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh yang be­kerja sebagai penarik kereta, penghantar surat khabar dan pe­ngawal keselamatan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mariam Maran Abdullah.

Tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rizal Azani Zainal Adzam manakala tertuduh diwakili peguam bela S. Saravanan dan P. Uthayakumar.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, sekumpulan lelaki bertindak ganas menyerang tujuh pengawal keselamatan dan membakar tiga pondok kawalan, menyebabkan seorang daripadanya maut selepas ditetak dengan parang sebelum dibakar.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat berebut kawasan kawalan keselamatan dan enam lagi rakan setugas mangsa yang sedang membuat rondaan turut cedera parah akibat ditetak. - Utusan

No comments:

Post a Comment