17 February 2015

Kerajaan Selangor Umum Batal Projek Lebuh Raya Kidex

SHAH ALAM, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor membuat keputusan membatalkan pembinaan projek Lebuhraya Damansara-Kinrara (Kidex).

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan pembatalan dibuat kerana pihak konsesi gagal mematuhi tiga syarat khusus yang ditetapkan kerajaan negeri sehingga tamat tempoh Sabtu lepas.

Antara syarat yang gagal dipatuhi ialah penyediaan Penilaian Impak Lalu Lintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar.


Ini bagi membuktikan manfaat projek itu kepada pihak pengguna serta penduduk kawasan terlibat, setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuh raya tersebut.

Selain itu, pemegang konsesi Kidex juga gagal mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk segala kenaikan tol yang ditetapkan selain tidak menyatakan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip termasuk kadar pulangan kepada pelaburan.


Pemegang konsesi Kidex juga tidak mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang menegaskan ketelusan dan kebertanggungjawaban, katanya.

"Syarat-syarat itu dibuat dengan mengambil kira maklum balas orang ramai dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak konsesi lebuh raya tersebut sebelum ini namun mereka gagal memenuhinya," katanya.

Jelas Azmin, kerajaan negeri berpendapat pembinaan lebuh raya di Selangor mesti membawa manfaat kepada semua termasuk penduduk di kawasan infrastruktur itu dibangunkan.

Katanya pendekatan sama akan dikenakan kepada semua permohonan kelulusan cadangan pembinaan lebuh raya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu pada masa depan.

Pembinaan projek lebuh raya Kidex bernilai RM2.2 bilion yang dicadang dibina tahun ini bermula di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Damansara dan berakhir di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Kinrara.

Lebuh raya itu merangkumi laluan utama sepanjang 14.9km serta susur lebuh raya sepanjang 11.2km dan sebagai sebuah lebuh raya bertingkat sepenuhnya.

Kidex dipercayai mampu memenuhi keperluan penduduk di kawasan utara-selatan Lembah Klang selain mengurangkan kesesakan lalu lintas Raya Damansara Puchong (LDP) sehingga 30 peratus.

Projek itu bagaimana pun mendapat tentangan hebat daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan penduduk di kawasan terlibat.

Mereka mendakwa projek berkenaan akan memusnahkan alam sekitar dan bukan penyelesaian bijak kepada masalah lalu lintas di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment