17 October 2014

PAS perlu presiden baharu?

Hadi punca gagalnya impian Putrajaya Pakatan, kata penganalisis

Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mampu menawan Putrajaya selagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menerajui PAS sebagai presidennya, kata penganalisis, mengaitkan pemimpin konservatif itu dengan tembok kepercayaan yang runtuh akibat cara beliau menangani hubungan dengan DAP dan PKR. Profesor James Chin dari Universiti Monash menyifatkan Hadi sebagai halangan utama PR untuk mara ke Putrajaya.

 "Tidak akan ada kepercayaan (antara sesama parti dalam PR) selagi Hadi menjadi presiden PAS. PR tidak akan maju ke depan selagi Hadi tidak diganti," katanya kepada The Malaysian Insider. Pandangan ini dipersetujui penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan, yang berkata Hadi bersikap tidak matang dalam menangani kemelut menteri besar Selangor.


"Apabila Jawatankuasa PAS Pusat tidak setuju dengannya, Hadi pergi mengadu kepada badan lebih tinggi, iaitu Majlis Syura Ulama,” katanya. Ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata, sebagai presiden PAS, tindakan Hadi itu mendapat perhatian. "Orang melihat sikap kebudak-budakan yang ditunjukkan presiden PAS dan ini menjejaskan kredibiliti.

"Jika Hadi kekal presiden, selagi itu label 'tidak boleh dipercayai' akan kekal terhadap PAS," katanya kepada The Malaysian Insider. PAS dan Hadi khususnya, dikritik penyokong PR kerana tidak sehaluan dengan PKR dan DAP dalam pemilihan calon menteri besar Selangor. Hadi mempertahankan tindakannya, mengatakan ia selaras prinsip Islam dan berkata, dia berhak membuat keputusannya sendiri walaupun ia bertentangan dengan keputusan jawatankuasa pusat.

Pada penutup Muktamar Tahunan PAS di Johor bulan lepas, Hadi membuat ucapan berapi-api menjunjung golongan konservatif dalam parti dan bukan merapatkan barisan dengan PKR dan DAP, sebaliknya berkata dengan panjang lebar yang PAS akan mengikut prinsipnya sendiri dalam isu dasar dan pemerintahan, meskipun ia akan terus menjadi sebahagian daripada PR.

 Ketegasan Hadi yang PAS dengan caranya sendiri dan tidak terikat kepada sekutunya dalam PR, diikuti golongan konservatif lain dalam parti Islam itu yang mahu kerjasama politik PAS dengan PKR dan DAP dikaji semula. Ulama berusia 67 tahun itu, yang juga ahli Parlimen Marang, menerajui PAS sekarang ketika keretakan dalaman nampak begitu ketara.

PasMa, gerakan yang mahu mendesak PAS terus kekal dalam PR, ditubuhkan sebahagian bekas ahli PAS yang risau dengan hala tuju parti itu. Pada Rabu, seorang ahli parti yang berharga, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, meninggalkan PAS selepas 4 tahun lalu meninggalkan Umno untuk menyertai parti itu. Anak bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak gembira dengan cara PAS menangani kemelut menteri besar Selangor.

Wan Saiful berkata, selagi Hadi menjadi presiden, selagi itu orang ramai akan mempersoalkan sama ada PAS boleh dipercayai untuk terus setia dengan PR atau sebaliknya. "Kalau pilih kepimpinan macam lalang, selagi itu masalah akan kekal. PAS perlu nyatakan pandangan betul-betul, hendak duduk dalam PR atau Barisan Nasional," katanya. Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani sementara itu berkata, keretakan dalaman PR mula kelihatan semasa isu menteri besar Selangor.

"Ia makin nampak jelas khususnya semasa pilihan raya kecil Pengkalan Kubor," katanya kepada The Malaysian Insider. "Tetapi, situasi dapat diselamatkan kerana masih ada dalam PAS yang mahu parti terus teguh bersama PR,” katanya. Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan akan jadi lebih buruk jika PAS meneruskan usaha mereka membentangkan pelaksanaan undang-undang hudud, sama ada di peringkat negeri atau Parlimen.

"Kalau PAS bentang Hudud di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, saya rasa mungkin PR boleh berpecah kerana tidak sehati sejiwa,” katanya. Hadi sebelum ini dipersalahkan sebagai punca utama PAS hilang kuasa di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan pengkritik menuduhnya tidak mampu menyelesaikan perselisihan dalaman.

Hadi juga gagal mempertahankan Terengganu yang dimenangi PAS pada 1999 selepas mentadbirnya selama satu penggal. Bantahan dalaman terhadap Hadi juga menjadi lebih jelas dengan tertubuhnya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau Pasma itu. Dalam krisis Selangor baru-baru ini, parti Islam itu yang paling teruk terkesan dengan 2 wakil rakyatnya digantung selama setahun kerana tidak mematuhi perintah parti.

"Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) digantung, ia tidak akan beri kesan besar kepada hubungan formal PR," kata Chin. Bagaimanapun, Chin mengingatkan yang senario mungkin bertukar secara drastik jika Saari dan Hasnul memutuskan meninggalkan PAS dan menyertai PKR sebagai gantinya. "Ia berpotensi menjadi krisis berat di dalam PR jika kedua-dua wakil rakyat itu keluar PAS dan menyertai PKR ," katanya kepada The Malaysia Insider. – TMI

8 comments:

  1. Sebagai rakyat Marhaen, saya melihat bahawa terdapat ketidakseimbangan persefahaman dalam Pakatan Rakyat. Presiden PAS TG DS Haji Hadi Awang dalam banyak isu berbangkit dari PRU11, PRU12 dan PRU13 telah gagal untuk membentuk jemaah yang kukuh dalam PAS sendiri. Senario PRU13 menunjukkan TG DS HHA sendiri tidak jonsistan dalam jemaah terutamanya melibatkan pemilihan calon PRU13 di Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang. Pendekatan tidak menghormati rakan dalam PR mencerminkan bahawa beliau tidak berwibawa dalam PAS serta membawa imej yang tidak bersih. Ini memberi kesan ke atas seluruh jemaah PAS kerana akan dicop sebagai tidak jujur dalam PR. Jika ditanya pendapat kebanyakan rakyat Marhaen, TG DS HHA memang perlu digantikan sebagai Presiden PAS. PR tidak akan mampu menawan Putrajaya selagi beliau ada.

    ReplyDelete
  2. Pas tidak mahu dan tidak bersedia dijadikan buah catur untuk pemimpin2 PKR dan DAP mencapai cita2 tinggi mereka menawan Putrajaya seperti mana yang mereka lakukan terhadap Pas dalam usaha menyingkirkan Khalid Ibrahim di Selangor. PKR berbohong dengan niat sebenar dalam Langkah Kajang.Adakah ini ciri2 pemimpin yang sebuah perti islam mahu sokong? Pas tidak macam itu. Asas perjuangan Pas adalah Al Quran dan Hadith, dan Pas tidak mahu bersekomgkol dengan kebathilan cuma mahu mengejar kuasa dan jawatan. Hanya mereka di luar Pas dan beberapa pemimpin yang keliru dan terikut2 dengan janji2 Anwar tidak suka ketegasan Pas dengan islam. Lihat saja dalam isu Hudud, berapa kerat pemimpin2 melayu/ islam(?) PKR yang menyokong cadangan Pas tersebut?? Kenapa mereka tidak rasa bersalah kerana tidak menyokong cadangan rakan dalam PR?? Nah, apabila Pas tidak setuju dengan cadangan PKR atas lantikan MB Selangor kenapa Pas dituduh bukan2 seolah2 Pas adalah ahli PKR atau DAP? Pooh, nampak sangat kemunafikan rakan2 dalam PR. Adakah apabila Pas setuju atas semua cadangan PKR dan DAP maka itu dikatakan persefahaman?? Mana perginya asas pembentukan PR yang mengakui bersetuju utuk tidak bersetuju??? Orang luar tidak ada hak secumit pasir pun untuk menuntut presiden Pas diganti!! Bolehkan kami ahli2 Pas minta emak ayah kamu semua bercerai?? Tolong jawab. Dan kita dala Pas sangat teruja ingin melihat apa akan jadi pada PKR dan PR jika keputusan bersalah terhadap Anwar dikekalkan oleh mahkamah pada hujung bulan ini. Parti Pas atau PKR yang akan lenyap.

    ReplyDelete
  3. sekarang kita jatuhkan dulu ubn,itu pokoknya..bukanya semua org umno mati jika umno terkubur.ada faham ka?dah berpuluh tahun lwn dgn umno,bila tiba umno dah nak k.o,eehh pimpinan ttinggi pas syg pula ke umno.smpai mampus pun umno terus berkuasa.ada phm?deme xpe laa ada gaji /elaun besar jd w/rkyt,kami yg dbwh nii derita ssgt dgn kezaliman umno..ada phm ka????

    ReplyDelete
  4. jgn sombong laa,ingat kita pas nih kuat ka,kalu lwan sandiri?pooraaah!!!aku di peringkat bawah nih kecewa sggt dgn pimpinan pas aksyen hebat..ingat laa hebat dlm agama bkn bermakna hebat berpolitikkkkkk...tolong jgn bw parti pas join umno,anda keluar pas n sila msk umno.tq

    ReplyDelete
  5. Memang patut dan perlu diganti segera. Berilah presiden sakit otak tu berehat

    ReplyDelete
  6. Secara jujurnya TGHH memang tidak layak memimpin PAS sebab:

    1. Beremosi.
    2. Kurang berakhlak
    - tiada kebijaksanaan
    - fitnah
    - hina pemimpin lain
    - perkataan tidak enak didengat
    barua, kelahap,broker
    3. pendirian lalang
    4. tidak matang
    5. mudah dipengaruhi Ding ayam
    6. takut manusia lebih dari Tuhan.

    Untuk mengelakkan akar umbi berdosa menyatakan kelemahan TGHH..eloklah TGHH bersara dari Presiden, mudah2an boleh tumpukan buat kerja2 dakwah yang jauh lebih mulia.Saya mohon ampun dan maah sekiranya TGHH terasa hati. Tapi secara jujurnya inilah kenyataan sebenar.

    ReplyDelete
  7. aku pun sokong ssangat kalau hadi ni berenti..bukan diberentikan tauu...

    pada hadi ..aku nak pesan sikit...kita ni manusia biasa..mengaku kesilapan bukan satu dosa besar...tapi kalau sombong dan bongkak itu baru 2 dosa besar..mungkir janji dah 3 dosa besar...fitnah orang dah 4 dosa besar...dan lagi dan lagi dan lagi...
    bodoh pun dosa besar gak..pasal malas belajar ...

    kah kah kah kah kah ...

    ReplyDelete
  8. Percayalah yang PAS takkan kemana selagi dibawah Hadi.
    Hadi kurang kekuatan dan bijak untuk menjawat jawatan Presiden Pas tanpa dinafikan tahap pendidikan agama beliau.
    Berundurlah dari jawatan sekarang dan belajarlah jadi seorang pemimpin yang menyatukan bukan memeningkan.
    jawatan presiden terlalu berat dan tak layak untuk beliau. mungkin tokoh ilmuan dan agama tepat dan lebih sesuai.

    ReplyDelete