17 October 2014

Kritik Umno boleh. Kritik PAS tidak boleh?

Jangan tumpang nama parti, kata PAS Terengganu kepada PasMa

PAS Terengganu mencabar Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) untuk keluar daripada parti Islam itu dan menubuhkan parti baharu jika terus menjadikan badan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai platform mengkritik parti. Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, dengan meninggalkan PAS, NGO berkenaan dapat membuktikan sejauh mana PasMa dapat berdiri teguh dengan aliran baru yang dibawa kepada ahlinya.

 “Kita cabar dia keluar PAS, buat parti baharu supaya orang boleh lihat kredibiliti dia. Jangan tumpang atas nama PAS tetapi merosakkan imej pimpinan dan mengkritik Majlis Syura Ulama. “Kewujudan PasMa menyeleweng daripada NGO yang membantu PAS, kerana boleh memecahbelahkan PAS,” katanya kepada akhbar Sinar Harian.


Majlis Syura Ulama pada Ahad mengeluarkan arahan kepada semua ahli PAS agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PasMa selaras dengan peringatan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mahu wujud jemaah dalam jemaah dan parti dalam parti. Setiausaha Majlis Syura Nik Zawawi Salleh berkata badan perhubungan negeri juga dinasihatkan membuat laporan bertulis kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura sekiranya tindak-tanduk seumpama itu berlaku di peringkat masing-masing untuk diambil tindakan lanjut.

Satiful turut menggesa Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi tidak mengikut resam pohon dedalu yang sifatnya menumpang pada pokok lain tetapi merosakkan pokok yang ditumpangnya, lapor akhbar itu. Sementara itu, PAS Selangor tidak akan melarang ahlinya menyertai PasMa kerana menyifatkan NGO itu tiada kaitan dengan politik. Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad berkata soal larangan adalah di bawah bidang kuasa PAS Pusat namun ahli parti tidak dibenar menjadikan NGO berkenaan sebagai medium memburuk-burukkan parti.

“Kita tiada kuasa halang ahli PAS sertai PasMa. Yang kita tidak benarkan jika ahli parti menganggotai dua pertubuhan politik dalam satu masa,” katanya kepada Sinar Harian. Iskandar berkata, ahli PAS perlu menggunakan saluran yang betul jika terdapat cadangan atau kritikan terhadap parti. Katanya, PAS negeri masih menunggu laporan terdapat ahli parti itu yang menyalahgunakan PasMa untuk tujuan tertentu. “Buat masa ini memang ada dengar, kita sedang siasat dan tunggu laporannya. Jika betul kita akan serahkan kepada pimpinan pusat untuk ambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian. – TMI

No comments:

Post a Comment